Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:13pm
PENGARAH Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn. - Foto Rohanis Shukri
GALERI Prima, Balai Berita Bangsar. - Foto Rohani Shukri
GALERI Bidaan Seni Malaysia dan Asia Selatan di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar. - Foto Rohanis Shukri

Seni visual lebih RM1 juta dibida

KUALA LUMPUR: Sebuah karya seni hasil lukisan artis lagenda Singapura, Liu Kang bertajuk ‘Untitled 1955’, dianggar bernilai antara RM1.05 juta hingga RM1.9 juta, menjadi tumpuan pada pameran seni bidaan di Galeri Prima Balai Berita, di sini.

Lukisan minyak itu begitu bernilai kerana ia adalah sebahagian daripada karya terawal Kang ketika beliau mula membangunkan seni visual gaya Nanyang.

Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn, berkata Kang adalah ahli pengasas Persatuan Seni Singapura dan lukisan itu sebahagian daripada hasil seninya dalam perjalanan memperkenalkan gaya Nanyang di Bali.

“Pada 1952, Kang membuat lawatan ke Bali bersama tiga rakan artis dan mendapat inspirasi daripada keindahan landskap.

“Ia diterjemahkan ke atas sebuah kanvas yang memberi gambaran keadaan sekumpulan wanita sedang mandi di tepi sungai.

“Bidaan lukisan ini bermula pada harga RM1 juta. Bidaan dilakukan melalui empat cara iaitu secara langsung, atas talian, menerusi telefon dan ‘absence bid’ pada 28 Oktober,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Galeri Bidaan Seni Malaysia dan Asia Selatan di Galeri Prima, Balai Berita Bangsar.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Lebih 190 lukisan dipamerkan membabitkan artis seperti Syed Ahmad Jamal, Datuk Abdul Latiff Mohidin, Datuk Ibrahim Hussein dan Dzulkifli Buyong.

Selain itu, pameran khas Allahyarham Khalid Ibrahim turut disertakan pada pameran terbabit sebagai penghormatan terhadapnya.

Sebanyak 15 koleksi lukisan Khalid dipamerkan sepanjang perjalanannya bergelar anak seni.

23 dibaca
Berita Harian X