Rabu, 24 Oktober 2018 | 11:57am
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemui di Parlimen, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemui di Parlimen, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kerajaan Persekutuan beri pinjaman RM22.5 juta kepada Kelantan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan pada tahun ini memberi pinjaman sebanyak RM22.5 juta kepada Kelantan bagi menampung perbelanjaan operasi dan pengurusan negeri itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pemberian pinjaman itu termasuk membolehkan Kelantan membayar gaji kakitangannya yang dimohon Jun lalu.

“Pada asalnya mereka memohon pinjaman bagi pengurusan termasuk pembayaran gaji sebanyak RM24.5 juta tetapi kerajaan hanya luluskan RM22.5 juta kerana kita hendak cepat (beri pinjaman) supaya gaji kakitangan mereka dapat dibayar,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Berikutan itu, Guan Eng meluahkan rasa kesal atas dakwaan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menyatakan beliau anti Melayu dan anti Islam.

“Sampai hati mereka kata saya anti Melayu dan anti Islam. Bila saya sebut fakta dan angka dan masa sama kita menghulurkan bantuan, kenapa pula timbul soal agama dan kaum?” katanya.

Guan Eng dalam kenyataannya semalam berkata, pada 2016, Kelantan menerima RM398 juta, secara keseluruhan, sebagai pemberian daripada kerajaan seperti yang diterima negeri lain dalam Malaysia.

Turut termasuk dalam pemberian RM398 juta itu ialah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji dan emolumen.

Selain itu, kerajaan juga meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

Sehingga 31 Disember 2017, kerajaan Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan kerajaan negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan ini, katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X