Jumaat, 26 Oktober 2018 | 6:53pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Rosela Ismail

Kerajaan sudah merayu ringankan hukuman mati rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah merayu kepada kerajaan Singapura bagi meringankan hukuman mati yang dikenakan republik itu terhadap seorang rakyat Malaysia, Prabu Pathmanathan yang didapati bersalah atas kesalahan mengedar dadah.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini hari ini berkata, rayuan itu dibuat atas alasan kemanusiaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Malaysia ingin menekankan bahawa pihaknya menghormati kedaulatan undang-undang republik berkenaan.

"Kementerian difahamkan, pelaksanaan hukuman mati terhadap Prabu dilaksanakan di Penjara Changi, Singapura kira-kira jam 6.23 pagi hari ini di hadapan ahli keluarga dan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura," katanya.

Pada 31 Disember 2014, Prabu, 31, dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 227.82 gram heroin ke Singapura.

Penasihat peguam yang mengetuai pembebasan Prabu, N Surendran dalam laporan sebelum ini berkata, terdapat keraguan terhadap sabitan Prabu kerana dadah itu dijumpai dalam kenderaan yang dipandu oleh orang lain dan bukannya mendiang selain mendakwa pengakuan yang diperoleh daripada Prabu oleh pihak pendakwaan untuk perbicaraan dibuat di bawah tekanan.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata Malaysia akan menggesa Singapura untuk meringankan hukuman mati mandatori terhadap Prabu.

Beliau dipetik berkata, kerajaan Malaysia akan mendesak Singapura untuk mengurangkan hukuman itu kepada hukuman penjara seumur hidup.

Berita Harian X