Jumaat, 26 Oktober 2018 | 7:53pm
Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Stephan Neumeie. - Foto smestreet.in

Kaspersky, Dr Mahathir bincang isu keselamatan siber

KUALA LUMPUR: Syarikat keselamatan siber global, Kaspersky Lab, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini bagi membincangkan isu berkaitan cabaran keselamatan siber.

Kaspersky merupakan anggota serta sebahagian daripada misi Pakatan Perniagaan Eropah-ASEAN (EABA) yang berkunjung ke Malaysia pada 22-23 Oktober lepas.

Selain Dr Mahathir, delegasi EABA turut beberapa pihak termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Mengulas pertemuan itu, Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Stephan Neumeier berkata, beliau berkongsi penilaiannya mengenai peringkat ancaman keselamatan siber seterusnya serta pandangan pemimpin perniagaan mengenai isu tersebut.

“Pertemuan itu membolehkan kami mengetahui dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dan pendekatan mereka terhadap keselamatan siber. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada kami untuk berkongsi amalan-amalan terbaik kami.

“Perbincangan ini sewajarnya dilaksanakan secara berterusan, misalnya seperti pelaksanaan pengenalan digital kebangsaan yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada awal Oktober lepas,” katanya.

​​EABA merupakan pakatan syarikat multinasional terkemuka Eropah yang memiliki kepentingan besar di rantau ASEAN dan bermatlamat menjadi platform dialog bersama kerajaan dan pertubuhan serantau.

Satu kajian terbitan Indeks Cybersecurity Global 2017 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ketiga dari segi komitmen terhadap keselamatan siber. – BERNAMA

Berita Harian X