Ahad, 28 Oktober 2018 | 7:11pm
LUKISAN minyak berjudul Ronggeng karya Datuk Syed Ahmad Syed Jamal adalah lukisan yang menerima bidaan tertinggi. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
SEBANYAK 190 lukisan berjaya dijual dalam masa empat jam pada pada majlis lelongan anjuran Henry Butcher Art Auctioneers Malaysian and Southeast Asian di Galeri Prima, Balai Berita, hari ini. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Lukisan RM3.2 juta dijual dalam masa empat jam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 190 lukisan berjaya dijual dengan nilai RM3.2 juta dalam masa empat jam pada pada majlis lelongan anjuran Henry Butcher Art Auctioneers Malaysian and Southeast Asian di Galeri Prima, Balai Berita, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Sim Polenn berkata, walaupun keadaan ekonomi dilihat perlahan, namun masih ramai pengumpul lukisan tempatan datang untuk membida lukisan yang diminati mereka.

“Hampir 80 peratus karya seni terjual hari ini dan ia adalah jualan paling tinggi tahun ini dengan jumlah RM5.4 juta berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencapai RM3.3 juta setahun.

“Kami sentiasa mengalu-alukan pembeli dan pengumpul koleksi untuk mendapatkan lukisan yang mereka minati walaupun selepas bidaan selesai,” katanya.

Pada majlis berkenaan, lukisan minyak berjudul Ronggeng karya Datuk Syed Ahmad Syed Jamal adalah lukisan yang menerima bidaan tertinggi dengan harga RM420,000.

Lukisan yang dihasilkan pada 1957 itu menampilkan ideologi figuratif pelukis berkenaan wanita yang menari tarian tradisional Ronggeng.

Kata Sim, setiap karya seni mempunyai keunikannya tersendiri, justeru ia dibida berdasarkan nilai seni berkenaan.

“Tidak hairanlah, ada lukisan yang dijual pada harga serendah RM1,500.

“Lelongan kali ini juga turut memaparkan 15 karya seni pelukis Khalil Ibrahim sebagai tanda penghormatan kepada ilham dan kreativiti beliau yang mewarnai dunia seni sejak 1962,” katanya.

Sebelum ini, Henry Butcher yang mengadakan lelongan lukisan di Galeri Prima pada April lalu, berjaya meraih keuntungan dengan jumlah RM2.2 juta.

45 dibaca
Berita Harian X