Rabu, 31 Oktober 2018 | 3:02pm
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong (lima dari kanan) merasmikan upacara peletakan lunas Kapal Kombat Litoral (LCS) ke-4 di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Dasar Pertahanan Negara akan dikemaskini

LUMUT: Kementerian Pertahanan dalam perancangan mengemaskini semula hala tuju Dasar Pertahanan Negara (DPN) 2010 sebagai persiapan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Timbalan Menterinya, Senator Liew Chin Tong, berkata ia selaras dengan dasar pertahanan itu yang sudah lama tidak dikemaskini.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan satu kertas putih pertahanan dalam menggariskan cabaran yang akan dihadapi dalam jangka masa pertengahan dan panjang.

“Dengan kertas putih ini, isu pertahanan seperti industri pertahanan, berapa ramai anggota (yang) kita perlukan, hala tuju, dasar pertahanan dan semuanya boleh diambil kira dan diberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan upacara peletakan lunas Kapal Kombat Litoral (LCS) ke-4 di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Berhad, Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

DPN memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung tanggungjawab dan peranan Kementerian Pertahanan untuk membabitkan semua pihak dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Chin Tong berkata, mengemaskini DPN bukan sahaja membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi diharap dapat membabitkan pihak berkepentingan lain.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, selaras dengan perkembangan geo-politik serantau, adalah menjadi keperluan negara bagi menaiktaraf keupayaan ketenteraan.

Katanya, tambahan pula keupayaan tentera yang berteraskan teknologi adalah bersifat dinamik, iaitu sentiasa berubah dan semakin meningkat kecanggihannya.

“Pembinaan LCS adalah satu langkah positif untuk bersama bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa di samping bakal menjadi aset negara bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Berita Harian X