Rabu, 31 Oktober 2018 | 3:23pm

Dokumentari abadikan ketokohan Pak Lah

PUTRAJAYA: Ketokohan, jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, diabadikan dalam dokumentari selama satu jam, sekali gus menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang.

Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Datuk Jefridin Atan berkata, penerbitan dokumentari itu mendapat kerjasama Primeworks Studio, subsidiari Media Prima Berhad.

“Jutaan terima kasih setulus hati saya ucapkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar serta kru yang terbabit dalam proses menerbitkan dokumentari ini.

“LEGASI akan berusaha sedaya upaya selepas ini supaya dokumentari ini dapat ditayangkan di media arus perdana sama ada di dalam atau luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pratonton Dokumentari Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ulasan Buku: ‘Being Abdullah Ahmad Badawi-The Authorised Biography’ di sini, hari ini. Yang turut hadir, Abdullah dan isteri, Tun Jeanne Abdullah.

Pelancaran dokumentari berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Dalam pada itu, Jefridin berkata, penerbitan dokumentari itu diharap dapat menjadi rujukan dan panduan kepada banyak pihak termasuk penyelidik serta pelajar untuk menelusuri legasi tokoh atau negarawan yang berjasa dan menyumbang kepada pembinaan negara.

Menurutnya, antara legasi atau cetusan idea Abdullah yang besar ialah gagasan Islam Hadhari yang diterima baik pada peringkat antarabangsa dengan tertubuhnya Hadhari Center for Islamic Civilizational Studies di Kyoto University.

“Pusat penyelidikan di Jepun ini ditubuhkan dengan kerjasama Institut Islam Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana suatu bentuk rangkaian disebut Hadhari Global Network dapat kami bentuk.

“LEGASI dilantik untuk menjadi sekretariat kepada kerjasama ini termasuk bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS),” katanya.

Mengulas lanjut, Jefridin berkata, ia sekali gus menunjukkan gagasan atau legasi diilhamkan oleh Abdullah bersifat sejagat dan terus relevan walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan pentadbiran.

Menurutnya, LEGASI akan terus melaksanakan program dan kegiatan berbentuk advokasi berdasarkan segala gagasan dan legasi yang bersifat sejagat.

“Ini supaya dapat dijadikan input dalam memberi nilai tambah kepada dasar kerajaan semasa dalam usaha membina mentaliti kelas pertama dalam kalangan rakyat ke arah menuju Wawasan 2020,” katanya.

Dokumentari yang diterbitkan itu dibahagikan kepada empat segmen dengan tiga slot ruang iklan dan pembahagian adalah mengikut standard program satu jam yang disiarkan di televisyen.

Kerja mengumpul maklumat bermula sejak Februari lalu dan kira-kira 30 individu daripada pelbagai latar belakang khasnya mereka yang pernah berkhidmat dengan Abdullah ditemu bual termasuk diplomat luar negara.

Mengenai buku ‘Being Abdullah Ahmad Badawi-The Authorised Biography’, ia ditulis oleh wartawan veteran, Datuk Wong Sulong, mengandungi 498 halaman dibahagikan kepada 15 bab dilancarkan pada 31 Oktober 2016.

Majlis pratonton dokumentari itu dan ulasan buku berkenaan berlangsung hari ini berikutan 31 Oktober adalah tarikh penting apabila Abdullah dilantik memegang tampuk tertinggi negara sebagai Perdana Menteri kelima pada 2003.

YANG Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas bersama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir pada Majlis Pratonton Dokumentari Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ulasan Buku: ‘Being Abdullah Ahmad Badawi-The Authorised Biography’ di Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Datuk Jefridin Atan. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X