Rabu, 31 Oktober 2018 | 11:03pm
PENGERUSI Koperasi Kontraktor Melayu Malaysia Berhad (KKMMB), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin. - Foto L Manimaran

Syor kerajaan wajibkan pelabur asing guna kontraktor Bumiputera

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengenakan syarat kepada pelabur asing supaya menggunakan khidmat kontraktor Bumiputera dalam setiap projek yang dijalankan di negara ini.

Pengerusi Koperasi Kontraktor Melayu Malaysia Berhad (KKMMB), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin, berkata beliau berharap ahlinya akan mendapat manfaat daripada langkah itu.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 48,000 kontraktor Bumiputera termasuk 26,000 kelas G berusaha untuk mendapatkan projek khususnya daripada kerajaan.

“Kontraktor Bumiputera lebih selesa untuk membida projek kerajaan kerana bayarannya lebih terjamin.

“Namun dengan perkembangan ekonomi yang perlahan banyak kontraktor dibiarkan tanpa sebarang projek.

“Sekarang ini belum ada projek, G7 langsung tidak ada. Projek besar dulu ditutup hingga kontraktor G1 atau kelas F, turut terjejas.

“Lebih teruk apabila syarikat asing mengambil alih kerja kontraktor tempatan seperti berlaku dalam projek dilaksanakan syarikat dari China di Pahang dan Johor hingga difahamkan tukang sapu juga diambil dari negara itu,” katanya tanpa menyebut secara spesifik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Kontraktor Melayu Malaysia Berhad (KKMMB) Kali ke-16 di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Perancangan Korporat Kementerian Kerja Raya, Zureen Zubir.

Megat Ahmad Shahrani yang berpengalaman 35 tahun dalam industri pembinaan berkata, cadangan itu dibuat sebagai prasyarat untuk memastikan manfaat bersama bagi kontraktor tempatan dan pelabur asing.

Beliau berkata industri pembinaan hari ini amat kompetitif akibat kelembapan ekonomi hingga menyebabkan banyak kontraktor terjejas.

“Keseluruhannya terdapat 80,000 kontraktor berdaftar termasuk bukan Bumiputera di negara ini dari G1 (kerja di bawah RM200,000) hingga G7 (kerja membabitkan nilai RM10 juta dan ke atas).

“Kami sedia untuk berkerja kuat tapi apa yang boleh dilakukan, projek tiada.

“Sekurang-kurangnya dengan mengenakan syarat mewajibkan supaya pelabur asing mengambil kontraktor tempatan, dapatlah kami sedikit pendapatan untuk terus kekal dalam industri ini,” katanya.

Menurutnya KKMMB juga berharap semua projek kerajaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera kerana mereka lebih memerlukannya berbanding kontraktor bukan Bumiputera yang memonopoli 70 peratus projek swasta.

Sementara itu, Zureen menasihati kontraktor Bumiputera supaya berdaya saing dan tidak hanya bergantung kepada projek kerajaan semata-mata.

Katanya, ini termasuk berusaha membida projek pengubahsuaian swasta.

“Ini kerana peruntukan untuk projek pengubahsuaian di bawah kerajaan (Kementerian Kerja Raya) di seluruh negara hanya bernilai RM3.7 bilion setahun berbanding swasta mencecah RM10 bilion,” katanya.

Dalam pada itu beliau menyarankan ahli KKMMB yang belum berdaftar dengan ePerolehan yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan segera berbuat demikian.

Katanya, berdaftar dengan ePerolehan akan membuka peluang kontraktor Bumiputera untuk memasuki tender kerajaan.

“Ia adalah satu sistem elektronik yang akan memudahkan aktiviti perolehan kerajaan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan disediakan.

“ePerolehan juga ada pelbagai manfaat termasuk membolehkan pembekal mempamerkan produk mereka dalam jaringan web sedunia selain menerima, mengurus dan memproses pesanan pembelian serta menerima bayaran daripada agensi kerajaan menerusi internet,” katanya.

56 dibaca
Berita Harian X