Jumaat, 2 November 2018 | 6:07pm

Teknologi disruptif buka peluang pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Inovasi teknologi yang semakin canggih mentransformasikan dunia kepada kepantasan, seterusnya membolehkan perniagaan menjadi lebih maju dan cekap.

Pendigitalan boleh berfungsi sebagai distruktif dan pemboleh daya perniagaan kerana dengan teknologi digital seperti analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI), internet untuk segala-galanya (IoT) dan pengkomputeran awan membantu perniagaan dan individu dalam meningkatkan keupayaan.

Teknologi distruktif juga menggandakan pertumbuhan dalam ekonomi digital dan mengoptimumkan pelaburan digital, di mana ia menyaksikan banyak firma mendapat manfaat daripada kemajuan digital dalam menambah baik operasi serta model perniagaan.

Syarikat perisian pula semakin bertambah dengan memanfaatkan kemajuan teknologi digital untuk membangunkan aplikasi bagi kilang pintar, kamera pintar, pengangkutan, rumah pintar dan perniagaan dalam talian.

Sebagai contoh, kilang pintar, di mana konsep pembuatan baharu yang menggunakan pelbagai aplikasi perisian mengubah data operasi kepada maklumat perniagaan, seterusnya membolehkan firma meningkatkan daya saing.

Teknologi sensor pula memenuhi keperluan pelbagai aplikasi bagi tujuan pemantau tanpa halangan serta memiliki ketepatan tinggi menganalisis objek, manakala pengangkutan menerusi aplikasi e-panggilan dapat memberi tumpuan memperkukuhkan sistem pendaftaran bagi meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang.

Di Malaysia, telefon pintar kekal sebagai kaedah paling popular untuk mengakses internet. Pada 2017, terdapat 35.3 juta langganan jalur lebar mudah alih direkodkan berbanding 2.6 juta langganan jalur lebar tetap.

Majoriti pengguna melanggan internet untuk tujuan komunikasi, jaringan sosial, mendapatkan maklumat dan hiburan, pembelajaran, berkaitan pekerjaan, pembelian dalam talian, perkhidmatan kerajaan dan aktiviti kewangan.

Sehubungan itu, platform digital dan peranan teknologi memacu aktiviti sosial dan ekonomi, yang mana perkembangan ini dijangka meningkatkan sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) melebihi RM170 bilion pada 2020 dan RM400 bilion menjelang 2025.

Namun, cabaran dihadapi kini adalah kelajuan rendah dan harga jalur lebar tinggi yang menjadi kekangan dalam pembangunan dan penggunaan teknologi digital.

Ketika ini, Malaysia menduduki tempat kelima selepas Singapura, Vietnam, Brunei dan Myanmar dalam kalangan negara Asia Tenggara dari segi purata kelajuan rangkaian 4G, di samping, indeks penggunaan PKS juga adalah rendah berbanding negara lain di rantau ini.

Justeru, perkhidmatan jalur lebar perlu ditingkatkan bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi digital di Malaysia.

Kesimpulan, era digital membawa perubahan besar kepada landskap sosioekonomi dan keselamatan, namun kemajuan teknologi digital dijangka mewujudkan lebih banyak distruktif pada masa depan.

90 dibaca
Berita Harian X