Sabtu, 3 November 2018 | 4:27pm
NORDIN Yet. - Foto NSTP/Roselan Ab Malek

Peruntukan RM295 juta ceriakan peneroka FELDA

JERANTUT: Peneroka FELDA bersyukur dengan keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan RM295 juta bagi menaik taraf kemudahan asas di tanah rancangan itu.

Ketua Kampung FELDA Sungai Tekam, Rashid Abas, 60, berkata peruntukan RM160 juta untuk bekalan air bersih, RM100 juta untuk menaik taraf jalan dan RM35 juta untuk membina dan naik taraf bangunan serta projek pemasangan lampu jalan dapat meningkatkan kemakmuran dan keceriaan di rancangan FELDA di seluruh negara.

“Kami berterima kasih dengan peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2019 kerana ia dapat meningkatkan pengeluaran hasil komoditi itu kerana banyak jalan ladang yang rosak hingga menjejas pengeluaran buah kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ada juga peneroka bimbang kerana Belanjawan 2019 tidak menjelaskan bagaimana kerajaan dapat meningkatkan harga kelapa sawit yang semakin berkurangan sekarang sehingga menjejaskan pendapatan peneroka.

Peneroka FELDA Kota Gelanggi Tiga, Nordin Yet, 60, kemerosotan harga kelapa sawit sejak kebelakangan ini menjejaskan pendapatan peneroka yang bergantung sepenuhnya kepada komoditi itu.

“Kami berharap, kerajaan segera mencari jalan untuk meningkatkan harga sawit dengan mencari pasaran yang lebih luas di luar negara,” katanya.

Ketua Kampung FELDA Sebertak, Bera, Omar Hussain, 58, pula berkata, Belanjawan 2019 tiada memperuntukkan program khidmat sosial untuk meneruskan Program Kasih FELDA dan Sejahtera Peneroka, membaikpulih rumah bagi penduduk di 317 tanah rancangan FELDA seluruh negara.

“Kerajaan hanya menekankan peruntukan untuk kemudahan asas tetapi tidak banyak untuk kebajikan peneroka yang rata-rata sudah berumur,” katanya.

Sementara itu, peneroka FELDA Jengka 16, Maran, Hamzah Tawang, 60, berkata harapan tinggi warga FELDA ialah kerajaan menyediakan dana khas bagi bantuan kewangan dan pinjaman kepada anak-anak mereka meleset, kerana tiada dana disediakan untuk meneruskan pengajian tinggi di peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam Belanjawan 2019.

“Ini bermakna tiada lagi Skim Tuisyen Felda (STF) untuk membiayai kelas tambahan di sekolah rendah dan menengah dapat dilaksanakan demi survival pendidikan generasi baharu FELDA,” katanya.

EXCO Majlis Belia Felda Wilayah Jengka yang juga anak peneroka FELDA Jengka 18, Azmi Mohammad berkata belanjawan kali ini tiada peruntukan khas disediakan supaya projek perumahan generasi baharu FELDA di setiap rancangan dan peruntukkan khas membaiki pulih banyak projek yang terbengkalai disediakan.

“Saya berharap projek industri kecil dan sederhana dilaksanakan secara menyeluruh di rancangan FELDA supaya lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi baharu FELDA,” katanya.

Berita Harian X