Isnin, 5 November 2018 | 5:07pm
ZULKIFLI Abdullah semasa sidang media selepas membuat lawatan di Klinik Cure & Care Bukit Mertajam. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

AADK perlu RM10 juta baik pulih pusat pemulihan

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM10 juta diperlukan bagi membaik pulih kemudahan dan kelengkapan serta meningkatkan mutu perkhidmatan di pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ia bertujuan memberi keselesaan serta menjamin keselamatan di pusat-pusat kendalian AADK di seluruh negara bagi mencapai matlamat dalam menangani penagihan dadah.

Menurutnya, AADK menghadapi banyak masalah daripada segi peruntukan dalam usaha membasmi masalah penagihan dadah, dan berharap pihak kerajaan dapat menyalurkan RM10 juta dalam usaha membaik pulih 10 Klinik Cure And Care (C&C), 20 Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) dan 39 Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) di seluruh negara.

“Selain itu AADK juga kekurangan tenaga pengajar di pusat-pusat pemulihan dan banyak pusat pemulihan sedia ada sudah usang dan daif.

“Ia bagaimanapun tidak menjadi penghalang kepada AADK selama ini untuk membanteras dan mendidik orang ramai mengenai bahaya dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di C&C Bukit Mertajam, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, ada penagih yang menerima rawatan berjaya dirawat sepenuhnya dan tidak kembali semula pusat pemulihan.

Beliau berkata, dalam usaha mengekang dan menghapuskan penagihan dadah di negara ini, sistem sokongan keluarga, komuniti dan peluang pekerjaan kepada bekas penagih juga penting.

“Ia sebagai satu usaha untuk memastikan penagih yang keluar dari pusat pemulihan tidak kembali menjadi penagih berulang.

“Selama ini, saya melihat sokongan daripada kelompok ini tidak di tahap memuaskan kerana berdasarkan tinjauan yang dilakukan, tidak ramai majikan yang sanggup memberikan pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, majikan harus menyokong kumpulan lepasan pusat ini dengan memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

Katanya, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan sektor perkilangan khusus yang akan memberikan kursus tertentu yang diperlukan mereka kepada bekas penagih ini.

“Dengan usaha itu, ia mampu memberikan kemahiran yang diinginkan sektor itu dan memudahkan bekas penagih ini untuk mendapat tempat di industri berkenaan,” katanya.

77 dibaca
Berita Harian X