Rabu, 7 November 2018 | 7:35pm
SIVAMURUGAN Pandian

6 bulan masa sesuai rombak Kabinet

PUTRAJAYA: Tempoh enam bulan hingga satu tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) adalah tempoh yang sesuai untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) merombak Kabinet mereka bagi membentuk sebuah Kabinet yang lebih mantap.

Penganalisis politik berpendapat, dalam tempoh itu, anggota Kabinet yang 80 peratus terdiri daripada muka baharu itu juga sudah menunjukkan kemampuan masing-masing sama ada dari segi cara kerja dan menangani pelbagai isu.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata rombakan Kabinet mungkin dibuat berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang memberi markah 40 ke 50 peratus kepada anggota Kabinetnya.

“Barangkali selepas enam bulan, Perdana Menteri sudah membuat tafsiran berhubung pencapaian anggota Kabinet berdasarkan beberapa perkara yang dipersoalkan umum dan pencapaian di kementerian masing-masing.

“Mungkin ada yang akan mempersoalkan kenapa terlalu awal kerana ramai dalam kalangan mereka adalah muka baharu. Apa juga keputusannya, Perdana Menteri memerlukan Kabinet yang mantap untuk merencana agenda besar kerajaan selepas pengumuman Belanjawan 2019,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sebelum ini, timbul ura-ura kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet tidak lama lagi atau pada Disember ini susulan Perdana Menteri dikatakan kurang berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinetnya.

NSTP difahamkan, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan menteri pagi esok, bagaimanapun butiran pertemuan itu tidak diperincikan.

Sivamurugan berkata, pengguguran beberapa anggota Kabinet yang dilihat tidak mencapai jangkaan yang ditetapkan atau pertukaran portfolio mungkin berlaku dalam rombakan itu.

“Kemungkinan juga ada kementerian baharu yang diwujudkan atau ada anggota Kabinet baharu yang akan dibawa masuk, susulan pemimpin yang dilihat berwibawa daripada kerajaan terdahulu menyertai PH, seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed (bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri),” katanya.

Sementara itu, seorang ahli akademik yang enggan namanya disiarkan berpendapat, anggota Kabinet tidak boleh mengambil mudah jawatan yang disandang kerana kelemahan mereka bakal menjejaskan kredibiliti dan reputasi kerajaan bukan saja di mata rakyat, malah dunia.

Beliau berkata, alasan ‘masih setahun jagung’ dan kurang berpengalaman tidak boleh diterima dan bukan tiket untuk mereka ‘melepaskan’ diri daripada menunjukkan prestasi yang memuaskan.

Beliau mengakui, terdapat anggota Kabinet yang sememangnya berkaliber, namun tidak kurang juga yang masih tercari-cari arah tuju, terpinga-pinga dan seolah-olah masih dibuai mimpi.

“Ini tidak wajar kerana tempoh enam bulan hingga setahun sudah cukup untuk mereka belajar dan laksanakan tugas. Mereka perlu cepat belajar dan tidak wajar terlalu memperlihatkan yang mereka ini ‘baharu’ atau kurang pengetahuan terutama ketika membuat kenyataan di khalayak.

“Kita kini berdepan dengan rakyat yang celik politik selain mempunyai akses kepada maklumat yang pelbagai. Jadi, sudah pasti rakyat mengharapkan menteri dan anggota kerajaan memperlihatkan tahap prestasi yang dihormati selain tidak memalukan kerajaan.

“Ini (Menteri) adalah satu jawatan tinggi di peringkat Persekutuan dan mereka adalah pembuat keputusan di peringkat tertinggi. Jadi, suka atau tidak, kebolehan perlu ditunjukkan seawal mungkin kerana mereka membawa imej negara,” katanya.

Ditanya sama ada perlunya kemunculan semula Mustapa dalam Kabinet, beliau berkata, ia amat perlu kerana sinergi antara muka lama dan muka baharu dalam pentadbiran kerajaan ketika ini amat diperlukan.

Mustapa adalah satu-satunya wakil PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 26 Oktober lalu.

Sementara itu, ditanya sama ada akan ada rombakan Kabinet esok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

"Perkara itu kena tanya Pejabat Perdana Menteri," katanya,

2005 dibaca
Berita Harian X