Khamis, 8 November 2018 | 6:07pm

#JomCintaNabi dapat sokongan korporat

KUALA LUMPUR: Enam badan korporat dan satu agensi kerajaan menyokong kempen #JomCintaNabi anjuran BH yang melihat inisiatif itu mampu menjadi perantara menyampaikan mesej bermanfaat kepada masyarakat.

Enam syarikat berkenaan ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Bank Rakyat, BIMB Holdings Berhad, Travelyoyo Sdn Bhd, Jiujiu HealthLife dan Harmony Language Centre, manakala agensi kerajaan ialah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata kempen #JomCintaNabi selari dengan prinsip PTPTN yang menekankan sikap amanah dan tanggungjawab yang perlu diterapkan, terutama kepada setiap pelanggannya.

“Melalui kempen ini, sifat Rasulullah SAW yang mulia dapat ditanam dalam setiap individu termasuk kumpulan sasaran kami, iaitu ibu bapa dan pelajar institut pendidikan tinggi.

“Misalnya ibu bapa perlu difahamkan kepentingan untuk melakukan persediaan untuk anak bagi pendidikan pada masa depan seperti produk disediakan PTPTN menerusi SSPN-i dan SSPN-i Plus.

“Graduan pula perlu menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW menerusi perbuatan antaranya tidak culas dalam melunaskan semula hutang kerana ia juga diajar oleh baginda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, berkata kempen itu amat berkesan untuk membawa perspektif cinta nabi dalam prinsip sebenar yang lebih menyeluruh dan bukan hanya menjurus kepada perkara menyedihkan yang dialami oleh Rasulullah SAW.

“Kami di PPZ-MAIWP ingin memperlihatkan masyarakat perspektif berbeza, iaitu cinta kepada nabi mesti dimulai dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW.

“Dengan cara itu, masyarakat akan mementingkan perkara yang menjadi kewajipan terlebih dahulu termasuk rukun Islam ketiga, iaitu menunaikan zakat,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, di samping menyemai cinta kepada Rasulullah SAW, PPZ-MAIWP ingin mengajak masyarakat membayar zakat dengan segera menerusi pelbagai kemudahan, termasuk secara dalam talian dengan melayari laman web www.zakat.com.my.

Kempen dilancarkan hari ini akan bermula Sabtu ini hingga 10 Disember.

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai pengisian dan aktiviti dianjurkan, termasuk penyiaran artikel dan rencana mengenai sirah, sahsiah, sunah dan selawat, peraduan Jom Selawat, poster eksklusif #JomCintaNabi dalam BH, platform digital Berita Harian Online dan media sosial serta kapsul BHTV, Jom Tanya Ustaz Edisi Khas: #JomCintaNabi.

Bagi Ketua Pegawai Operasi BIMB Holdings Berhad, Mohamad Azlan Mohamad Alam pula, inisiatif BH mengadakan kempen #JomCintaNabi dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif mempromosi Islam sebagai satu cara hidup.

Sebagai perbankan Islam, Mohamad Azlan, berkata BIMB Holdings Berhad teruja berpeluang bersama-sama BH dan rakan strategik lain dalam kempen itu, sekali gus menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyalurkan keuntungan kepada masyarakat.

“Selain berharap BH akan meneruskan kempen ini pada masa hadapan, kami berhasrat melihat ia membawa kesan yang baik, terutamanya kepada umat Islam dalam meneladani akhlak Rasulullah SAW.

“Kempen ini berupaya memperlihatkan bukan saja keunggulan Rasulullah SAW daripada sudut agama, malah aspek pemikiran strategik baginda yang boleh diikuti kalangan bukan Islam,” katanya.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul sebelum ini lebih bersifat acara sehari tetapi kempen ini memberi kelainan dengan menawarkan persekitaran baik buat ilmu baharu dan Islam sebagai cara hidup.

Sementara itu, Pengarah Urusan Travelyoyo Sdn Bhd, Ahmad Ma Yue, berkata pihaknya berbangga berpeluang menjalin kerjasama dengan BH, iaitu syarikat media yang mempunyai reputasi baik dalam masyarakat di negara ini.

“Kami melihat kempen ini sebagai satu cara terbaik bagi mendidik dan mewujudkan kesedaran kepada umat Islam akan keagungan Rasulullah SAW.

“Pengisian kempen termasuk paparan sejarah dan sunah Rasulullah dalam akhbar BH sepanjang kempen juga satu usaha yang sangat baik untuk kembali memesrakan baginda sebagai tokoh unggul umat Islam,” katanya.

Ahmad berkata, Travelyoyo sendiri sentiasa berusaha menerapkan akhlak Rasulullah SAW, terutamanya daripada aspek integriti baginda sebagai asas penting ketika mengendalikan perniagaan dan berdepan dengan pemegang saham.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani pula, berkata Bank Rakyat memilih kempen itu kerana ia medan yang berkesan untuk menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan syiar Islam ke seluruh dunia.

“Bank Rakyat berharap ia dapat mencapai matlamat dalam mendekatkan masyarakat dengan sunah Rasulullah terutamanya sambutan Maulidur Rasul dengan didokong menerusi inisiatif kolaboratif yang mantap,” katanya.

Selain itu, katanya, sebagai institusi perbankan yang beroperasi sepenuhnya berlandaskan prinsip syariah, Bank Rakyat menawarkan produk yang komprehensif bagi memenuhi keperluan orang ramai.

“Perlu dijelaskan bahawa perbankan Islam itu amat dinamik dan boleh disesuaikan dengan keperluan semasa,” katanya.

PENGERUSI The New Straits Times Press (NSTP), Tan Sri Ismail Omar menerima replika logo daripada Pengarah Urusan Travelyoyo Sdn Bhd, Ahmad Ma Yue pada Majlis Pelancaran kempen #JomCintaNabi di Balai Berita, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Saddam Yusoff
PENGERUSI The New Straits Times Press (NSTP), Tan Sri Ismail Omar menerima replika logo daripada Pengarah Urusan Travelyoyo Sdn Bhd, Ahmad Ma Yue pada Majlis Pelancaran kempen #JomCintaNabi di Balai Berita, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Operasi BIMB Holdings Berhad, Mohamad Azlan Mohamad Alam (tengah) mewakili BIMB sebagai rakan strategik kempen #JomCintaNabi anjuran BH. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Operasi BIMB Holdings Berhad, Mohamad Azlan Mohamad Alam (tengah) mewakili BIMB sebagai rakan strategik kempen #JomCintaNabi anjuran BH. - Foto Saddam Yusoff
RAKAN strategik kempen #JomCintaNabi PPZ-MAWIP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff (tengah) pada majlis pelancaran program itu di NSTP Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
RAKAN strategik kempen #JomCintaNabi PPZ-MAWIP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff (tengah) pada majlis pelancaran program itu di NSTP Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
ISMAIL (dua dari kiri) menerima replika logo daripada Ketua Komunikasi Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah sebagai sokongan kepada kempen #JomCintaNabi anjuran BH. - Foto Saddam Yusoff
ISMAIL (dua dari kiri) menerima replika logo daripada Ketua Komunikasi Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah sebagai sokongan kepada kempen #JomCintaNabi anjuran BH. - Foto Saddam Yusoff
Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop (dua dari kiri) bersalaman dengan Ismail sebagai rakan strategik kempen #JomCintaNabi dalam majlis di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Saddam Yusoff
Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop (dua dari kiri) bersalaman dengan Ismail sebagai rakan strategik kempen #JomCintaNabi dalam majlis di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X