Khamis, 8 November 2018 | 7:11pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Peringatan mengenai sejarah negara dalam pertemuan dengan menteri dan timbalan

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi peringatan mengenai sejarah negara dan asal usul dalam pertemuan dengan menteri dan timbalan menteri Kabinet di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, peringatan itu diberikan supaya semua pemimpin tidak mengulangi perkara tidak baik yang mungkin berlaku dahulu.

“Saya nak kena beritahu sejarah negara kita supaya kita semua faham asal usul kita.

“Dengan itu kita tidak akan melakukan perkara tidak baik yang mungkin berlaku dahulu,” katanya ketika diminta mengulas pertemuannya dengan menteri dan timbalan menteri Kabinet Melayu di YKP hari ini.

Pertemuan khas berkenaan berlangsung selama kira-kira dua jam hari ini namun difahamkan tidak menyentuh perbincangan mengenai rombakan Kabinet mahupun lantikan mana-mana pemimpin sebagai penasihat kerajaan.

Difahamkan, pertemuan itu membincangkan perincian Belanjawan 2018 selain beberapa isu lain berkaitan agenda dan pembangunan Bumiputera.

Tinjauan NSTP mendapati, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun adalah jemputan paling awal tiba pada jam 8.30 pagi sebelum kenderaan dinaiki Dr Mahathir tiba 30 minit kemudian.

Turut dilihat adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Kenderaan dinaiki Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah kemudian dilihat tiba pada jam 10.30 pagi sebelum pertemuan dijadual bermula pada jam 11 pagi.

Berita Harian X