Khamis, 8 November 2018 | 8:48pm
JOHAN Ishak - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ

Tonton guna platform cetak rompak boleh dianggap 'perompak'

KUALA LUMPUR: Penonton kandungan rangkaian televisyen Media Prima yang menonton di platform cetak rompak boleh dianggap sebagai ‘perompak’ kerana tindakan itu menyalahi undang-undang hak cipta dan harta intelek.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak berkata, selain menonton di televisyen, penonton boleh memilih platform seperti tonton.com.my, xtra.com.my atau Youtube yang diberikan secara percuma sejak 1 September lalu.

“Semalam, saya berdebat dengan netizen mengenai isu cetak rompak kandungan TV ini tetapi mereka tidak faham, malah ada yang mempertikai jawapan saya dan merasakan tindakan mereka itu tidak salah.

“Saya ingin jelaskan, iklan adalah satu-satunya sumber pendapatan untuk TV Media Prima. Kami bukan macam sesetengah platform di mana mereka perlu bayar bulanan. Kami percuma.

“Berbalik kepada laman cetak rompak atau lanun tadi, kalau semua masih menonton di platform berkenaan maka hilanglah rezeki yang sepatutnya disalurkan kepada kami dan ia seolah-olah dirompak dari kami,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Semalam, Johan memuat naik status di laman Facebook miliknya bertajuk ‘Surat Umum Saya kepada Semua Rakyat Malaysia’ yang meminta penonton bertimbang rasa dan menghargai industri kreatif negara dengan membanteras lanun cetak rompak.

“Platform (lanun) ini sewenang-wenangnya mengambil kesempatan berkongsi kandungan TV yang menjadi hak milik Media Prima.. saya tidak pasti sama ada mereka mahu mengejar jumlah pengikut atau ada agenda lain.

“Sedangkan kami pemilik asal kandungan TV berkenaan tidak mendapat sebarang keuntungan, kerana mereka (lanun) tidak pernah meminta izin, berbincang atau membayar royalti.

“Atas sebab itu, saya dan Pengerusi Forum Komunikasi dan Kandungan Multimedia (CMCF), Datuk Izham Omar berhasrat untuk mengetengahkan hal ini secara serius kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menggubal polisi membanteras lanun industri,” katanya.

Katanya, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana laman media sosial atau platform yang memiliki semua kandungan berkenaan dengan TV3, TV9, ntv7 dan 8TV supaya memadamkannya.

“Pihak kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang berdasarkan tuduhan cetak rompak harta intelek jika kami masih menjumpainya.

“Mereka kemudiannya akur dan sudah mengambil langkah memadamkan kandungan berkenaan, namun ada beberapa laman lagi yang sedang disiasat,” katanya.

Katanya, penonton perlu bertanggungjawab dan menghargai hasil usaha dan keringat warga industri kreatif dengan menghentikan cetak rompak dan menonton di saluran rasmi rangkaian TV berkenaan.

306 dibaca
Berita Harian X