Sabtu, 10 November 2018 | 3:45pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Cukai produk petroleum: Rakyat Sarawak akan tanggung beban - PM

KOTA BHARU: Rakyat Sarawak akan menanggung beban apabila kerajaan negeri mengenakan cukai lima peratus terhadap produk petroleum.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata cukai tambahan yang dikenakan itu akan ditanggung oleh penduduk di sana.

"Kalau kenakan cukai tambahan, orang mereka (Sarawak) akan tanggung. Mereka akan beli minyak pada harga yang lebih," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulas mengenai langkah kerajaan negeri Sarawak yang buat pertama kali akan mengenakan cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum berkuatkuasa 1 Januari depan.

Difahamkan, pengenalan cukai itu dilaksanakan bertujuan untuk meningkat dana kerajaan negeri, selepas parti yang menguasai Sarawak tidak lagi bernaung di bawah Barisan Nasional (BN), selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Berhubung dengan royalti lima peratus yang diminta oleh kerajaan negeri Kelantan, Dr Mahathir berkata Kerajaan Pusat sedang meneliti perkara itu.

"Kita sedang berusaha bagaimana nak bagi royalti ke Kelantan...cara kita akan tentukan," katanya.

Kerajaan negeri Kelantan mahu bayaran royalti lima peratus daripada hasil pengeluaran diberi kepada mereka.

Dr Mahathir berkata, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan untuk memberi royalti 20 peratus daripada hasil keuntungan.

"Mereka mahu sebahagian daripada kos pengeluaran yang bermakna menjadi 40 peratus. Kalau begitu (40 peratus) sebagai royalti, Petronas boleh bankrap," katanya.

Berita Harian X