Ahad, 11 November 2018 | 9:35pm
PRESIDEN Russia, Vladimir Putin - Foto Reuters

MH17 mungkin antara tajuk perbincangan pertemuan Dr M dan Putin

SINGAPURA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di luar Sidang Kemuncak ke-33 ASEAN di sini nanti.

Mesyuarat dijadualkan pada hari Selasa. Putin berada di negara pulau ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ke-3 ASEAN-Russia dan Sidang Kemuncak ke-13 Asia Timur.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengesahkan pertemuan itu berkata insiden Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh semasa melalui zon konflik di Ukraine Timur pada tahun 2014, mungkin akan menjadi antara tajuk perbincangan.

“Pendirian kita sentiasa jelas, kita masih menunggu laporan konklusif dari Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT),” katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini.

Selepas empat tahun siasatan berhubung insiden Penerbangan Malaysia MH17 itu, pasukan JIT yang diterajui negara Belanda itu berkata pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia, BUK TELAR.

Pasukan itu percaya senjata BUK TELAR digunakan untuk menembak jatuh MH17, dan ia berasal dari Briged ke-53 Anti-Aircraft Missile (53rd Brigade), yang merupakan satu unit Tentera Russia dari Kursk dalam Persekutuan Russia.

Anggota JIT terdiri daripada polis dan pendakwa raya dari Belanda, di samping para pegawai dari Malaysia, Australia, dan Ukraine.

Pesawat Boeing 777 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak semasa melintasi zon konflik di Ukraine Timur, mengakibatkan 298 orang terbunuh.

Selain Putin, Dr Mahathir juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. – BERNAMA

Berita Harian X