Rabu, 14 November 2018 | 1:07pm
EDDIN pada pelancaran buku sempena Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
EDDIN pada pelancaran buku sempena Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Bahasa Melayu berdepan cabaran ICT

SEREMBAN: Era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan bahasa Melayu berdepan cabaran sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata bahasa Melayu perlu bersaing dengan bahasa Inggeris yang ketika ini menjadi semakin penting dalam ICT.

“Internet dan pengeluar perisian serta perkakasan komputer semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris, sekali gus menjadikan ia sebagai cabaran kepada bahasa Melayu di negara ini.

“Bagaimanapun, cabaran ini harus disambut oleh ahli akademik untuk memastikan bahasa Melayu boleh dan mampu menyesuaikan peranannya dalam berdepan cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu ‘Bahasa Melayu Kembali Ke Akar’ di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar di sini, hari ini.

Justeru beliau berkata, pengamal media elektronik boleh membantu usaha memperkasa dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam medium komunikasi dan multimedia.

“Elakkan sikap suka mengaut keuntungan menerusi siaran tertentu dan mengabaikan penggunaan bahasa Melayu. Sebaliknya kembali semula menjadi saluran penting mendidik penonton menggunakan bahasa yang betul,” katanya.

Malah beliau menyarankan supaya, syarikat televisyen menambah jumlah rancangan terbitan berbahasa Melayu, untuk tujuan mendidik penonton menggunakan bahasa ibunda yang betul.

Sementara itu, Eddin turut menyeru Universiti Awam, swasta dan IPG memperbanyakkan penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Melayu bagi memudahkan pelajar membuat rujukan.

Katanya, ketika ini buku seperti itu masih tidak mencukupi, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap buku rujukan dalam bahasa Inggeris.

Berita Harian X