Ahad, 18 November 2018 | 3:24pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - Foto BERNAMA

Pecat Waytha Moorthy daripada Kabinet - PERKASA Selangor

SHAH ALAM: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor menggesa kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, kerana mengeluarkan kenyataan fitnah memburukkan negara.

Yang Dipertuanya, Borhan Ahmad Zakaria, berkata dakwaan Waytha Moorthy bahawa masyarakat India di negara ini tidak dilayan dengan adil, dipaksa memeluk Islam jika bekerja di sektor kerajaan dan sebanyak 10,000 kuil dimusnahkan adalah satu tuduhan yang amat berat.

“Dia (Waytha Moorthy) tidak bertanding pun dalam pilihan raya, jadi pecat sahaja dia. Pelantikan dia dalam Kabinet atas budi bicara Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad). Sikap seperti dia tidak wajar ada dalam Kabinet.

“Kita akan lakukan desakan supaya dia dipecat atau dikenakan tindakan undang-undang. Dia tidak wajar keluarkan dakwaan seperti ini di luar negara. Adakah ini sikap seorang menteri apabila burukkan negara sendiri di luar negara?

“Layanan yang diterima masyarakat India di Malaysia adalah yang terbaik dan layanan seperti ini tidak akan dinikmati di negara lain,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai video berdurasi 2 minit 39 saat yang tular di media sosial memaparkan Waytha Moorthy memburukkan negara, termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Mengulas lanjut, Borhan menggesa kerajaan menarik semula keputusan untuk menggantung sementara tindakan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Akta Hasutan wajar dikekalkan dan begitu juga dengan akta lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

“Perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan menunjukkan pentingnya kerajaan mengekalkan Akta Hasutan. Ketiadaan akta seperti ini menyebabkan sesiapa sahaja bebas bercakap walaupun ia mengguris hati pihak lain,” katanya.

Berita Harian X