Ahad, 18 November 2018 | 3:59pm
PERADUAN dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul ini dibuka selama sebulan sejak 10 November lalu hingga 10 Disember depan.

Peraduan 'Jom Selawat' di platform media sosial

KUALA LUMPUR: Bermatlamatkan untuk menggalakkan umat Islam berselawat, BH menerusi kempen #JomCintaNabi menganjurkan peraduan Jom Selawat di platform media sosial, iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.

Peraduan dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul itu dibuka selama sebulan sejak 10 November lalu hingga 10 Disember depan.

Pengarang Berita, Sastera & Agama BH, Mohd Nazmi Yaakub, berkata penyertaan itu terbuka kepada orang awam.

“Caranya cukup mudah kerana mereka cuma perlu merakam video mengalunkan selawat mengikut kreativiti tersendiri, sama ada secara individu atau berkumpulan.

Letak hashtag #JomCintaNabi

“Cuma like dan follow Facebook, Instagram dan Twitter Berita Harian Online, kemudian muat naik dengan meletakkan hashtag #JomCintaNabi.

“Langkah terakhir dengan kongsikan video berkenaan untuk tatapan umum,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Mohd Nazmi berkata, video terbaik akan ditentukan oleh juri yang akan membuat penilaian berdasarkan kreativiti, jumlah like dan perkongsian paling tinggi di media sosial, manakala keputusan adalah muktamad.

Pilih 13 video terbaik

“Sebanyak 13 video terbaik akan dipilih untuk menerima hadiah dengan nilai keseluruhan RM50,000.

“Pemenang tempat pertama berpeluang meraih hadiah percutian, rawatan urutan serta wang tunai bernilai RM19,500. Tempat kedua pula hadiah keseluruhan RM10,000 dan ketiga RM8,000.

“Sebanyak 10 hadiah sagu hati akan menerima wang tunai dan hadiah bernilai RM1,600 setiap satu,” katanya.

Sepanjang kempen ini berlangsung, pelbagai pengisian dan aktiviti akan dianjurkan, termasuk penyiaran artikel dan rencana mengenai sirah, sahsiah, sunnah dan selawat, poster eksklusif #JomCintaNabi dalam akhbar BH, platform digital BH Online dan media sosial serta kapsul BHTV, Jom Tanya Ustaz Edisi Khas: #JomCintaNabi.

296 dibaca
Berita Harian X