Selasa, 20 November 2018 | 2:34pm
YANG Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang kepada Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Pulau Pinang di Politeknik Balik Pulau. Turut hadir Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri). NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
YANG Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang kepada Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Pulau Pinang di Politeknik Balik Pulau. Turut hadir Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri). NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kerajaan Pulau Pinang, mufti berbeza pandangan

BALIK PULAU: Kerajaan negeri dilihat tidak sehaluan dengan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dalam isu berkaitan semakan semula fatwa menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam dan penyebaran Bible.

Ia susulan kenyataan bertentangan dikemukakan Timbalan Ketua Menteri I yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ahmad Zakiyuddin berkata, tiada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mengkaji semula fatwa berkenaan, selain menyifatkannya sudah lengkap bagi keperluan semasa di Pulau Pinang.

“Kita memang tak sokong fatwa ini (Syiah sebagai fahaman menyimpang daripada ajaran Islam) dikaji semula dan tidak perlu kajian mendalam mengenainya pada masa sekarang, malah kita berpegang kepada pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Lebih penting untuk tumpu bagaimana kita nak menangani isu atau kes sedemikian yang timbul dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang 2018 di sini, hari ini.

Semalam, Wan Salim dilapor bersetuju fatwa berkaitan Syiah itu dikaji semula berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsensus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman ASWJ yang disifatkan tidak mewakili pandangan semua umat Islam.

Selain itu, Mufti Pulau Pinang turut menyarankan kerajaan negeri menggubal undang-undang berkaitan kuasa diperuntukkan Perlembagaan bagi membolehkan tindakan diambil kepada pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negeri itu.

Berhubung penyebaran Bible, Ahmad Zakiyuddin berkata, tiada keperluan bagi kerajaan negeri menggubal enakmen yang menyekat penyebaran agama lain ke atas umat Islam seperti diperuntukkan dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila berlaku kes seperti ini (penyebaran Bible di beberapa sekolah di negeri ini) banyaklah saranan atau gesaan dibuat pelbagai pihak. Dalam keadaan negeri sekarang ini, saya rasa kita tak perlu lagi pendekatan sedemikian.

“Paling penting kita perhebatkan program untuk mempromosi Islam sebagai agama rahmatan lil alamin, selain memperkasakan kegiatan perpaduan dan menghormati antara kaum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, masih dijalankan dengan beberapa saksi akan dipanggil memberi keterangan, esok.

“Kita sudah panggil dan rakam percakapan pihak yang berkait secara langsung dengan projek ini. Esok akan bermesyuarat dan beberapa saksi lain yang tak berkait secara langsung akan dipanggil menghadiri sesi berkenaan di pejabat saya.

“Ada pandangan daripada beberapa pihak lagi yang perlu kita dapatkan dalam usaha mengemukakan nasihat terbaik kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan lanjut berkaitan kes ini.

“Tapak terbabit masih menerima arahan pemberhentian kerja, bagaimanapun kontraktor hanya dibenarkan menjalankan kerja mitigasi yang memerlukan kebenaran khas sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X