Rabu, 21 November 2018 | 1:38pm
NAJIB Razak ketika hadir pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Tiada arahan tarik Ahli Parlimen PH - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak memberi sebarang arahan untuk ‘memancing’ Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan Melayu-Islam bersama PAS pada malam 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak tahu jika ada sebarang pembabitan pihak lain dalam usaha berkenaan.

“Kalau ada pihak lain (membuat perundingan) saya tidak tahu, bagi pihak saya, tiada arahan meminta UMNO ‘memancing’ wakil rakyat PH,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan ada cubaan daripada UMNO dan PAS menarik Ahli Parlimen PH untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam pada malam 9 Mei lalu selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam temubual bersama majalah Mekong Review, mendedahkan terdapat cubaan “di sebalik tirai” beberapa jam sebelum keputusan rasmi PRU-14 diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, PH berdepan “masalah dari dalam” pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, ada cubaan daripada pemimpin UMNO dan PAS untuk menarik Ahli Parlimen Melayu-Islam dari PH bagi membentuk kerajaan.

Berita Harian X