Rabu, 21 November 2018 | 4:53pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Asyraf Hamzah

Dr Mahathir cuba alih isu - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS sifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO dan PAS cuba menarik Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan Melayu-Islam pada malam 9 Mei lalu tidak berasas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia adalah cubaan Perdana Menteri untuk mengalihkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“PAS tiada maklumat mengenai perkara itu. PAS menganggap itu sebagai pandangan peribadi (Dr Mahathir). Realitinya PAS tiada muafakat dengan UMNO ketika itu dan PH pun bertanding atas satu logo, PKR dan bukan logo masing-masing.

“Saya anggap ini hanya untuk lari daripada isu ICERD yang rakyat marah dan pada saya tidak ada kepentingan pun kita timbul isu itu. Benda sudah selesai pun, tiada kepentingan. Lebih baik fokus masa depan negara,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir dalam temubual bersama majalah Mekong Review mendedahkan terdapat cubaan UMNO dan Pas ‘memancing’ Ahli Parlimen PH Melayu-Islam beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan enam bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, PH berdepan ‘masalah dari dalam’ pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tidak mungkin gabungan parti yang mempunyai majoriti boleh melompat ke parti yang tidak mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

“Dari segi rasionalnya, tidak logik. Sebenarnya saya pun baru sahaja mendengar perkara ini. Buat apa bincang perkara yang sudah menjadi bahan sejarah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan MCA berhubung kerjasama UMNO-PAS, Tuan Ibrahim berkata presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong perlu memantapkan partinya terlebih dahulu.

“MCA perlu mantapkan parti itu. BN kalah bukan kerana UMNO semata-mata tetapi sebab komponen dalam BN termasuk MCA. Lebih baik beliau fokuskan macam mana nak tingkatkan parti itu daripada mempersoalkan kerjasama UMNO-PAS.

“Saya fikir MIC lebih baik daripada MCA. MIC ada lebih kerusi Parlimen berbanding MCA,” katanya

4648 dibaca
Berita Harian X