Rabu, 21 November 2018 | 5:04pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Penubuhan Majlis Usahawan Tani Muda ke Kabinet minggu depan

SERDANG: Kertas Kabinet berhubung cadangan penubuhan Majlis Usahawan Tani Muda akan dikemukakan kepada Kabinet minggu depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata petani muda bakal menjadi penggerak yang berperanan menjana idea ke arah memperkasakan sistem pertanian negara.

“Majlis ini akan menjadi pentas terbaik kerana saya tidak mahu anak muda sekadar menjadi petani, sebaliknya mereka akan diangkat sebagai sebahagian daripada pembuat dasar dan menyumbang idea untuk memantapkan industri ini.

“Saya cadangkan penubuhan majlis ini sejak Julai lalu kerana pembabitan anak muda semakin menggalakkan, malah ramai yang menunjukkan minat untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.

“Sekiranya lulus, kita akan lancarkan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. Hadir sama timbalannya, Sim Tze Tzin.

Pameran yang bertema ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ yang mensasarkan lebih 3.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara itu akan bermula esok sehingga 2 Disember depan.

Berita Harian X