Rabu, 21 November 2018 | 5:50pm

Pengurusan baharu 1MDB siasat keterangan bohong juruaudit

KUALA LUMPUR: Pengurusan baharu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang menyiasat dakwaan seorang bekas pegawai kanan syarikat audit Deloitte Malaysia berbohong kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pegawai kanan syarikat audit itu, syarikat yang pernah memberi perkhidmatan berkenaan kepada 1MDB, didakwa berbuat demikian ketika memberi keterangan kepada PAC pada prosiding berhubung 1MDB, Jun 2016.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pengurusan baharu 1MDB serta nasihat daripada Jabatan Peguam Negara dalam perkara itu.

“Untuk makluman Dewan Rakyat, pihak pengurusan baharu 1MDB kini sedang menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan hasil siasatan serta nasihat daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Guan Eng menjawab soalan Lim Lip Eng (PH DAP-Kepong) yang bertanya apakah tindakan yang akan diambil kerajaan terhadap keterangan bohong yang diberikan pegawai kanan Deloitte Malaysia dalam siasatan PAC apabila beliau mempertahankan pengauditan 1MDB yang didakwanya palsu.

Deloitte pada 27 Julai 2016 dilaporkan berkata, maklumat dalam pemfailan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) membabitkan rampasan aset berkaitan 1MDB, menjejaskan audit mereka pada tahun 2013 dan 2014.

Syarikat audit itu berkata, sehubungan itu, kenyataan kewangan 1MDB pada tahun berkenaan yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac 2014 dan 5 November 2014 tidak boleh lagi digunakan.

Deloitte membuat kenyataan berkenaan dua tahun lalu selepas 1MDB pada ketika itu, mengumumkan syarikat audit terbabit menarik diri daripada menjadi juruaudit mereka, iaitu syarikat ketiga berbuat demikian sejak 2009.

Antara 31 Mac 2010 hingga 31 Mac 2012, syarikat juruaudit bagi laporan kewangan 1MDB adalah KPMG Malaysia, namun syarikat itu pada Jun lalu dilaporkan berkata, audit dilakukan mereka dalam tempoh itu adalah tidak tepat selepas meneliti Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang sebelum itu diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Menurut laporan PAC, khidmat KPMG ditamatkan apabila enggan menandatangani akaun tanpa perincian berkaitan pelaburan bernilai AS$2.32 bilion.

The Wall Street Journal pula pernah melaporkan khidmat firma Ernst & Young juga ditamatkan pada 2010 selepas membangkitkan persoalan sama.

DOJ mahu menyita lebih AS$1 bilion aset yang dikatakan berpunca daripada 1MDB.

2009 dibaca
Berita Harian X