Khamis, 22 November 2018 | 2:43pm
DATUK Saifuddin Abdullah - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
DATUK Saifuddin Abdullah - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Kerajaan kaji tekanan perdagangan pada Myanmar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbang cadangan untuk mengenakan tekanan perdagangan kepada Myanmar supaya negara itu menamatkan krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kerajaan akan melihat keperluan untuk syarikat Malaysia yang memiliki kepentingan pelaburan besar di Myanmar seperti PETRONAS, untuk mengenakan tekanan perdagangan itu.

“Kerajaan mengambil maklum dengan cadangan untuk PETRONAS atau perniagaan Malaysia lain mengambil satu pendirian yang mampu memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar.

“Tekanan seperti ini mungkin mampu memberi kesan yang lebih nyata serta menghasilkan keputusan lebih pantas kepada masyarakat Rohingya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH PKR-Setiawangsa) yang bertanya sama PETRONAS yang memiliki kepentingan di Myanmar, mengenakan tekanan dalam bentuk memboikot atau menghentikan pelaburan di negara itu sebagai usaha membela nasib etnik Rohingya yang ditindas.

Menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai langkah membawa pihak bertanggungjawab di Myanmar ke muka pengadilan kerana melanggar hak asasi manusia ke atas etnik Rohingya, Saifuddin berkata, isu itu perlu dikemukakan di mahkamah antarabangsa.

Katanya, Malaysia juga akan terus menggembleng tenaga dengan negara yang sependirian untuk memastikan keadilan dapat dilunaskan kepada etnik teraniaya itu.

“Malaysia sudah mencadangkan isu penindasan etnik Rohingya dikemukakan kepada mana-mana mahkamah antarabangsa, yang ketika ini satu proses penyiasatan sudah pun bermula di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Malaysia juga berpandangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga berperanan merujuk isu Rohingya kepada proses kehakiman antarabangsa, termasuk menubuhkan tribunal antarabangsa dengan mandat khas,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X