Khamis, 22 November 2018 | 6:34pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA

PM pertahan pendedahan cubaan UMNO kekal berkuasa

SERDANG: Tun Dr Mahathir Mohamad terus mempertahankan pendedahannya berhubung cubaan UMNO dan Pas ‘memancing’ Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Melayu-Islam

sekalipun dinafikan pemimpin parti sekutunya dan pembangkang.

Perdana Menteri terus mengulangi dakwaannya itu, yang dikatakan menjadi punca

kelewatan pengumuman kemenangan PH ketika pengumuman keputusan rasmi keputusan rasmi

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu.

“Malam itu lambat pengiktirafan PH menang, sepatutnya pukul 8.30 malam menang tapi tiada pengumuman kerana pihak pemimpin UMNO bercadang join (masuk) sama Pas dan tarik beberapa Melayu daripada Keadilan (PKR) dan Pribumi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“(Ia) supaya cukup bilangan untuk mereka menubuh kerajaan tetapi rancangan itu tak berjaya kerana mereka tidak dapat umpan orang daripada PH.

“Tak cukup nak tubuh kerajaan dengan itu terpaksalah mereka iktiraf bahawa PH menang (PRU-14),” katanya pada sidang media selepas perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Semalam, Dr Mahathir dalam temubual bersama majalah Mekong Review mendedahkan

terdapat cubaan UMNO dan Pas ‘memancing’ Ahli Parlimen PH Melayu-Islam beberapa jam

sebelum keputusan rasmi PRU-14 diumumkan enam bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, PH berdepan ‘masalah dari dalam’ pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

“Ia berkaitan politik perkauman dan agama, terdapat keresahan bahawa gabungan kita tidak akan menghormati kedudukan Islam sebagaimana kerajaan sebelumnya.

“Jadi, terdapat idea menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada UMNO, PAS dan PH supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu-Islam,” katanya dipetik dalam temubual berkenaan.

Semalam, beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang berkata, mereka tidak tahu dan mempunyai maklumat berhubung dakwaan Perdana Menteri itu.

Mereka termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH),

bagaimanapun tidak menafikan dakwaan itu namun parti itu tidak menerima sebarang pelawaan daripada UMNO dan PAS untuk kerjasama itu.

Katanya, ia mungkin boleh berlaku kerana Dr Mahathir memiliki pelbagai sumber

dan maklumat yang boleh digunakan.

Berita Harian X