Khamis, 22 November 2018 | 7:08pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan lawatan ke kebun Winter Melon pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan lawatan ke kebun Winter Melon pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA

Dasar Agro Makanan 2.0 dirangka - PM

SERDANG: Kerajaan sedang menjalankan kajian bagi merangka Dasar Agro Makanan 2.0 (2021-2030) bertujuan memacu sektor agro makanan sejajar dengan perkembangan teknologi dan revolusi industri 4.0, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, dasar berkenaan akan menekankan pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden, modal insan dalam pertanian serta pengkomersialan dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Ia sejajar hasrat kerajaan untuk menjadikan sektor agro makanan yang berdaya saing.

“Kita juga akan bangunkan sumber rezeki baharu seperti penanaman kelapa, nanas, tembikai, belimbing dan durian yang mendapat permintaan besar tempatan dan global serta memberi nilai ekonomi yang baik. Sumber rezeki baharu ini akan dieksploitasi sepenuh.

“Bagi menjayakan hasrat ini, kerajaan komited untuk optimumkan aset logistik sedia ada, mesin dan jentera pengangkutan selain kemudahan rantaian agro makanan akan dimanfaat sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

MAHA 2018 bermula hari ini hingga 2 Disember, menampilkan kelainan dengan mempamerkan inovasi terkini dalam industri pertanian.

Acara dwitahunan yang menghimpunkan segala hasil pertanian terbaik dari seluruh negara itu dijangka dapat menarik lebih 3.5 juta pengunjung dengan sasaran jualan RM300 juta.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X