Ahad, 25 November 2018 | 6:56pm
KETUA Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahdzan. - Foto Asyraf Hamzah

Deloitte dirujuk jawatankuasa disiplin MIA berkaitan isu 1MDB

KUALA LUMPUR: Institut Akauntan Malaysia (MIA) sudah merujuk firma Tetuan Deloitte kepada Jawatankuasa Disiplin institusi berkenaan berikutan peranan sebagai juruaudit syarikat yang terpalit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Nurmazilah Mahdzan, berkata Deloitte disiasat kerana disyaki melanggar Akta Akauntan 1967 apabila melakukan pengauditan terhadap akaun 1MDB pada 2014.

“Berikutan berita terkini mengenai juruaudit Deloitte terhadap 1MDB, MIA mengesahkan sudah menjalankan siasatan terhadap firma itu di mana kesnya sedang didengari Jawatankuasa Disiplin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 21 November lalu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa supaya tindakan diambil terhadap firma berkenaan dan bekas rakan pengurusan negaranya, Datuk Tan Theng Hooi berikutan didakwa mengelirukan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai auditnya terhadap 1MDB.

Pada 2016, Deloitte menyatakan bahawa laporan auditnya untuk penyata kewangan 1MDB untuk tahun 2013-2014 tidak terpakai berikutan maklumat didedahkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang memfailkan aduan dalam usaha mendapatkan semula lebih RM6.8 bilion nilai aset berkaitan 1MDB.

Terdahulu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, dilaporkan berkata perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Madinah berkata, perkara itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ia sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

2472 dibaca
Berita Harian X