Selasa, 27 November 2018 | 6:44pm
KEJADIAN rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, awal pagi tadi. - Foto Saifullizan Tamadi

Rusuhan kuil Sri Maha Mariamman bukan isu perkauman - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu agama berhubung rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, sebaliknya ia berkaitan pemindahan kuil.

Perdana Menteri berkata, polis sudah diarahkan untuk mengambil tindakan lanjut kerana ia berkaitan jenayah selain menangani serta mengawal situasi berkenaan dengan segera.

Menurutnya, beliau sudah dimaklumkan oleh polis mengenai perkembangan terkini siasatan kejadian berkenaan.

“Saya mengikuti perkembangan yang berlaku membabitkan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25, Subang Jaya pada Isnin lalu.

“Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang membabitkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab oleh penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil selain mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat dalam rusuhan itu.

Dr Mahathir berkata, penjenayah yang melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk merosakkan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

“Dalang di sebalik kejadian ini tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

“Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media sosial,” katanya.

Katanya, beliau menegaskan bahawa kejadian berkenaan sebagai insiden jenayah dan tiada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain.

Dalam kejadian rusuhan terbaru awal pagi tadi, seorang anggota bomba cedera parah selepas dibelasah kumpulan perusuh.

Mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya kerana patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman.

6171 dibaca
Berita Harian X