X
Jumaat, 30 November 2018 | 3:12pm
PENGERUSI ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SPR bakal tukar nama, bebas, berkuasa

KUALA LUMPUR: Reformasi sistem pilihan raya bakal menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditukar namanya, boleh menjalankan penguatkuasaan undang-undang serta bebas sepenuhnya.

Itu antara pembaharuan yang sedang dipertimbangkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) untuk dicadangkan kepada kerajaan.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pihaknya mahu memberi kebebasan mutlak kepada badan pengurusan pilihan raya negara ini serta memperluaskan kuasa dan fungsinya.

“Kami mahukan badan pengurusan pilihan raya negara ini memiliki fungsi yang lebih besar dan kuat, mereka perlu diberi kuasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan bebas sepenuhnya.

“Kami mungkin mencadangkan kerajaan mewujudkan badan pengurusan pilihan raya yang berbeza daripada SPR, mungkin namanya juga lain. Kami masih berbincang mengenainya.

“Yang penting, tiada sesiapa yang boleh memberi arahan pada badan pengurusan pilihan raya yang baharu itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya: Langkah Ke Depan Untuk Pilihan Raya Yang Bebas dan Adil di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan yang sedang dipertimbangkan ERC ketika ini bagi mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini.

ERC yang ditubuhkan kerajaan pada 28 Ogos lalu dan dianggotai 20 ahli pelbagai latar belakang, diberi masa dua tahun untuk melakukan kajian penambahbaikan pilihan raya.

Abdul Rashid berkata, sekiranya kerajaan menerima cadangan lengkap daripada ERC berhubung reformasi pilihan raya negara, SPR antara yang akan mengalami perubahan terbesar.

Antara perubahan itu, katanya, meletakkan pelantikan Pengerusi SPR di bawah Parlimen, berbanding atas cadangan Perdana Menteri yang diamalkan ketika ini.

“Lebih penting adalah kemahuan politik untuk melakukan reformasi wujud. Kerajaan tidak masuk campur dan sedia untuk melaksanakan cadangan ERC,” katanya.

Beliau berkata, ERC yang ditubuhkan tiga bulan lalu akan mula melakukan libat urus bersama pihak berkepentingan seperti ahli politik, orang awam, kerajaan negeri dan seumpamanya bagi mendapat maklum balas.

“Kami mahu semua orang memaklumkan kepada ERC apa yang mereka mahukan berdasarkan 16 komponen penting dalam rangka pilihan raya.

“Sesi libat urus ini sangat penting bagi memastikan reformasi yang akan dicadangkan nanti menggambarkan hasrat rakyat yang sebenar,” katanya.

Berita Harian X