Sabtu, 1 Disember 2018 | 12:14am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Kuala Lumpur, malam tadi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PM puas hati prestasi Maszlee, Waytha Morthy

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bukan ‘sekolahkan’ dua menteri seperti diperkatakan Datuk A Kadir Jasin yang disiarkan dalam blog Penasihat Media Khas Perdana Menteri itu.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya bercakap biasa dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

“Saya cuma cakap dengan mereka. Tiada kuliah (sekolah), cuma cakap saja,” katanya kepada media selepas hadir Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, A Kadir tampil menyuarakan isi hati menggunakan kapasiti peribadi di blognya.


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Hafiz Sohaimi

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Teguran berbaur sindiran A Kadir itu ditujukan kepada Waytha Moorthy dan Maszlee yang masing-masing terpalit dengan pelbagai kecaman dalam kalangan masyarakat, sejak kebelakangan ini.

A Kadir berkata, Maszlee menerima ‘syarahan’ oleh Perdana Menteri kerana sepatutnya berhenti menukar imej sekolah kebangsaan menjadi sekolah agama, sehingga mengundang kegusaran dalam kalangan ibu bapa.

Selain itu, katanya, tindak tanduk Waytha Moorthy yang juga menteri lantikan Senator itu dalam insiden keganasan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional, selaras portfolio beliau dalam Kabinet.

Ditanya adakah Perdana Menteri berpuas hati dengan prestasi kedua-dua menteri itu setakat ini, Dr Mahathir berkata ‘ya’.

Dr Mahathir berkata, selepas kedua-dua individu itu dilantik menyertai Kabinet, mereka sedang melakukan yang terbaik untuk kementerian masing-masing.

“Ya...ya (puas hati). Mereka sedang lakukan yang terbaik,” katanya ringkas.

4794 dibaca
Berita Harian X