Ahad, 2 Disember 2018 | 3:35pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin bersalaman dengan tetamu ketika Perasmian Seminar Kelestarian Alam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, hari ini. - Foto ADI SAFRI

Plastik musuh utama kelestarian alam sekitar

MUAR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memberi tumpuan terhadap bahan gantian plastik bermula tahun depan bagi menangani isu pencemaran.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata ini kerana pencemaran plastik terutama penggunaan beg plastik sekali guna adalah musuh utama perlu ditangani bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

“Apabila kita menilai dari aspek pencemaran, kita dapati penyumbang terbesar adalah daripada penggunaan beg plastik sekali guna.

“Walaupun terdapat pencemaran disebabkan oleh mikro plastik dan mikro bead, ia bukan penyumbang terbesar pencemaran kerana punca terbesar adalah daripada penggunaan beg plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Kelestarian Alam anjuran Majlis Perbandaran Muar (MPM) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri berkata, kementeriannya akan memberi fokus utama berkaitan penggunaan beg plastik, bermula dengan usaha mengurangkan penggunaan, guna semula dan kitar semula (3R) beg plastik.

“Bukan sahaja 3R sahaja tetapi ‘replace’ (gantikan beg plastik) iaitu bagaimana kita boleh menggunakan bahan lain yang lebih mudah terurai. Itu fokus utama kementerian tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan kementerian lain yang mungkin berdepan masalah sama, terutama dalam mendapat maklum balas mengenai isu pencemaran terbabit.

“Kita akan bekerjasama bukan hanya di peringkat kementerian tetapi juga jawatankuasa khas yang turut disertai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita akan bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana sektor perikanan juga antara bidang yang menjadi ‘mangsa’ kepada pencemaran yang disebabkan penggunaan plastik,” katanya.

Berita Harian X