Ahad, 2 Disember 2018 | 4:06pm
DATUK Salahuddin Ayub - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
DATUK Salahuddin Ayub - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

MAHA 2018: 26 MoU bernilai RM2.8 bilion ditandatangani

SERDANG: Sebanyak 26 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani sepanjang 11 hari penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) bermula 22 November lalu dengan nilai jualan RM2.8 bilion.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata MAHA 2018 mencipta kelainan apabila dimulakan dengan ‘Trade Day’, yang mempertemukan pedagang luar negara dengan pemain industri pertanian tempatan dalam semua sektor.

Beliau, berkata inisiatif itu membuka peluang kepada usahawan agro tani di negara ini untuk membentuk jaringan perniagaan lebih kukuh di peringkat antarabangsa.

“Saya juga ingin menyatakan kita mencipta 2,083 potensi perniagaan melalui program padanan perniagaan sepanjang MAHA 2018, selain merekodkan jualan semasa amat membanggakan iaitu RM150 juta.

“Selain itu, setakat jam 10 pagi tadi, seramai 3.2 juta orang berkunjung ke MAHA dan saya yakin kita mampu mencapai sasaran 3.5 juta orang.

“Jika tidak capai sekali pun, jumlah ini (3.2 juta orang) cukup menggambarkan bahawa MAHA 2018 mendapat sambutan cukup meluas daripada masyarakat dan pedagang luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan MAHA 2018 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari ini.

Sementara itu, menyifatkan penganjuran MAHA 2018 yang disertai 1,000 usahawan tempatan itu sebagai ujian pertama pameran bertaraf antarabangsa, Salahuddin berkata beliau gembira dengan sambutan hebat pengunjung.

“Penganjuran MAHA 2018 bukan saja mempamerkan hasil pertanian negara, malah turut memperkenalkan teknologi terkini serta aktiviti berkaitan industri asas tani.

“Saya bersyukur kerana menonjolkan kepentingan teknologi dan inovasi pertanian dalam industri agro makanan negara yang mampu meningkatkan produktiviti pertanian negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata kementeriannya komited untuk meneliti kajian mengenai Akta Pembaziran Makanan dalam usaha menangani isu pembaziran makanan di negara ini.

Katanya, kajian itu akan membabitkan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kesihatan.

”Dari pengalaman kita, terutama ketika Ramadan... hotel atau resort mengadakan jamuan atau bufet dan kebanyakannya pada hari biasa banyak makanan dibuang. Jadi perkara ini sangat serius,” katanya mengulas akta berkenaan yang diumumkan Dr Wan Azizah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X