Ahad, 2 Disember 2018 | 5:32pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye (empat dari kanan) melawat pameran sempena Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun 2018 di Dewan 1, Warehouse @ Kilang Bateri, Johor Bahru. - Foto ZAIN AHMED

Masih ramai enggan jalani rawatan HIV, AIDS

JOHOR BAHRU: Angka kematian akibat HIV dan AIDS hanya mencatatkan penurunan 15 peratus antara tahun 2002 dan 2017 berikutan masih ramai enggan menerima atau enggan memulakan rawatan antiretroviral (ARV).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata walaupun bukti ilmiah menunjukkan rawatan ARV boleh meningkatkan kualiti kehidupan dan jangka hayat mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV), masih ramai yang tidak menjalani rawatan seumpama itu.

Katanya, dalam usaha mencapai matlamat mengakhiri AIDS pada tahun 2030, kementeriannya berharap dapat mengurangkan jangkitan baharu HIV agar tidak melebihi 900 kes pada tahun 2030.

“Kita mahu memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka, selain menerima rawatan ARV dan memiliki kualiti kehidupan yang baik.

“Harapan ini menjadi tema bagi sambutan Hari Aids Sedunia tahun ini iaitu ‘Ketahui Status, Dapatkan Rawatan’,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan, di [email protected] Bateri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.

Boon Chye berkata, rawatan ARV yang berkesan akan menurunkan jumlah virus dalam badan dan seterusnya terbukti mengurangkan kematian akibat HIV dan AIDS, selain dapat mengurangkan transmisi jangkitan HIV secara seksual sebanyak 97 peratus.

“Namun hakikatnya, liputan mereka yang hidup dengan HIV dan menerima rawatan ARV di negara ini masih rendah. Pada 2017, liputan yang menerima rawatan ARV di seluruh dunia adalah sebanyak 59 peratus, manakala di Malaysia, 54 peratus,” katanya.

Boon Chye berkata, negara masih berdepan risiko jangkitan kerana tingkah laku berisiko masih berlaku dan adalah dianggarkan sejumlah 3,000 jangkitan baharu HIV dan AIDS dijangka dilaporkan setiap tahun.

Pada masa sama, katanya, terdapat seramai 72,399 orang yang hidup dengan HIV di seluruh negara yang memerlukan penjagaan kesihatan dan rawatan berterusan.

“Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pintar masyarakat sivil di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia melakukan pelbagai inisiatif bagi mempermudahkan ujian saringan HIV dan rawatan ARV.

“Ujian saringan HIV boleh dilaksanakan di semua klinik kesihatan. Bagi memperluaskan akses kepada ujian ini, terutama bagi populasi berisiko dijangkiti HIV, kementerian juga melatih anggota dari kalangan komuniti untuk memberikan perkhidmatan ujian saringan HIV di luar fasiliti kesihatan.

“Kementerian juga menyediakan perkhidmatan rawatan ARV bukan sahaja di hospital namun juga di klinik kesihatan, terutama yang mempunyai perkhidmatan pakar perubatan keluarga. Ini bagi memudahkan akses kepada rawatan ARV,” katanya.

Berita Harian X