Isnin, 3 Disember 2018 | 1:41pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada Persidangan Pembangunan Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini. -Foto Mahzir Mat Isa

Kerajaan dijangka lancar Akta Keselamatan Siber, Mac depan

KUALA LUMPUR : Kerajaan dijangka melancarkan satu dasar atau menggubal Akta Keselamatan Siber pada Mac tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pelaksanaan dasar itu bagi membina pentas dan infrastruktur keselamatan pengguna siber, terutama usahawan digital.

Katanya, ia termasuk usaha kerajaan mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, yang dijangka ‘menggegarkan dunia’ dengan konsep penggunaan 60 peratus mesin sebagai tenaga kerja harian.

“Baru-baru ini, kita dengar ada banyak ‘ancaman siber’, serangan ransomware, pencerobohan data dan aspek keselamatan pengguna internet yang serius.

“Kita kena kenal pasti hala tuju keselamatan siber negara. Malaysia akan meningkatkan dasar keselamatan siber negara, fasa pertama tahun depan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Pembangunan Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Majlis Keselamatan Negara (NSC), Engku Hamzah Mat; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Ishsal Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber (NACSA), Mohd Shah Nuri Md Zain dan Pengarah Ekosistem MDeC, Wan Murdani Wan Mohamad.

Gobind berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan di bawah kementerian lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, dalam ucapannya, Gobind berkata perbelanjaan meningkatkan keselamatan siber Asia dianggarkan sekitar 15 peratus dalam masa 10 tahun bermula 2015.

“Malaysia antara tiga negara Asia teratas yang dijangka menyumbangkan kepenggunaan kira-kira 75 peratus perkhidmatan siber pada 2025.

“Kajian AT Kearney Cybersecurity ASIA mendedahkan hampir 1,000 syarikat terkemuka Asia berkemungkinan hilang AS$750 bilion dalam pasaran akibat serangan siber.

“Kajian Microsoft melaporkan Malaysia akan kehilangan potensi ekonomi akibat ancaman siber dengan anggaran kira-kira AS$12.2 bilion atau empat peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017,” katanya.

Ditanya sejauh mana akta keselamatan siber boleh mengelakkan isu ‘tapping’ atau ceroboh data orang awam, Gobind berkata perkara itu akan disiasat sekiranya mendapat aduan polis.

Mengenai isu buli siber yang meluas dalam kalangan pengguna internet tempatan pula, Gobind mencadangkan pindaan Akta 574, Kanun Keseksaan.

“Isu buli siber sudah dibincangkan dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Kita dalam proses mencadangkan supaya Akta 574, digubal untuk menangani masalah buli siber.

“Kita sedang bincang, antara lain isu siapa, sama ada polis atau SKMM akan mengambil tindakan jika akta ini dipinda,” katanya.

Berita Harian X