Selasa, 4 Disember 2018 | 1:04pm
GAMBAR fail, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. - Foto Asyraf Hamzah

Malaysia perlu sedia hulur bantuan kepada rakyat Yaman

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia menghulurkan bantuan kepada mangsa peperangan di Yaman susulan pendedahan pembabitan secara rahsia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pergolakan di negara itu.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata pendedahan itu bererti Malaysia turut ‘menanggung dosa’ kerana bersubahat dalam kekejaman terhadap warga awam Yaman yang menjadi mangsa perang itu.

“Malaysia perlu bersedia menghantar bantuan kemanusiaan ke Yaman sebaik keadaan mengizinkan untuk menebus dosa kekejaman.

“Kita menuduh Amerika Syarikat (AS) membekalkan senjata dan peluru kepada Israel yang menggunakannya untuk membunuh rakyat Palestin.

“Tidakkah kita juga bersalah kerana membekalkan peluru dan letupan kepada sekutu Arab Saudi untuk membedil rakyat Yaman?

“Hakikatnya, tangan kita turut dibasahi darah rakyat Yaman yang terkorban kerana peluru dan letupan yang kita bawa,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, mendedahkan pembabitan ATM membantu pakatan ketenteraan Arab Saudi melalui Ops Yaman 2 yang tidak mendapat kelulusan Kabinet ketika pentadbiran terdahulu.

Penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Chin Tong turut mendedahkan, bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Menteri Pertahanan tidak bersetuju dengan cadangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) supaya pasukan ditarik balik pada 2016 kerana kos operasi dan selenggara tinggi serta tekanan terhadap trup dan kru penerbangan.

Raja Kamarul Bahrin Shah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, perlu membuat penjelasan mengapa perkara itu ‘disembunyikan’.

“Apakah bekas Perdana Menteri terhutang budi kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana derma lumayan dan lain-lain,” katanya.

Pada Mac 2016, Hishammuddin pernah menafikan pembabitan ATM dalam kerjasama ketenteraan untuk memerangi kumpulan ekstremis di Yaman dan Syria yang dipimpin Arab Saudi.

Sebaliknya, beliau mendakwa penyertaan ATM dalam eksesais North Thunder (Raad al Shamal) di wilayah itu adalah atas jemputan julung kali pihak Arab Saudi berdasarkan hubungan bilateral kedua-dua negara yang berada pada tahap tertinggi.

Berita Harian X