Selasa, 4 Disember 2018 | 1:12pm
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. - Foto NSTP

Ahmad Zahid persoal pendedahan Chin Tong

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempersoalkan pendedahan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perang di Yaman yang didakwa tidak mendapat kebenaran Kabinet terdahulu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, mempersoal sama ada Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, yang mendedahkan perkara itu semalam, berada dalam mesyuarat Kabinet pentadbiran sebelum ini hingga boleh membuat pendedahan sedemikian.

“Saya nak tanya, adakah beliau (Chin Tong) terbabit dalam mesyuarat Kabinet itu,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan Chin Tong di Dewan Rakyat, bahawa bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, tidak mendapat kelulusan Kabinet berhubung pembabitan ATM menerusi Ops Yaman 2 di kawasan bergolak itu.

Penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Chin Tong turut mendedahkan, bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Menteri Pertahanan tidak bersetuju dengan cadangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) supaya pasukan ditarik balik pada 2016 kerana kos operasi dan selenggara tinggi serta tekanan terhadap trup dan kru penerbangan.

2088 dibaca
Berita Harian X