Rabu, 5 Disember 2018 | 2:16pm
HISHAMMUDDIN menjawab soalan media di lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ops Yaman 2 diluluskan MKN - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Ops Yaman 2 yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet pentadbiran terdahulu, diketuai dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihak yang membuat pendedahan mengenai Ops Yaman 2 perlu memahami fungsi MKN untuk mengetahui pembabitan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika membuat pendedahan terbabit.

“Dia lupa apa itu MKN. Dia kata (Ops Yaman 2) tidak dibawa ke Kabinet, dia sepatutnya tanya kepada perisik luar kita, tanya kepada MKN, tanya mereka apa sebenarnya yang kita lakukan.

“Ini semua membabitkan rahsia negara. Saya profesional (tidak mahu dedahkan) tetapi kalau dia betul-betul mahu tahu, gunakan agensi di bawah mereka sekarang untuk mengetahui isu sebenar.

“Bagaimanapun, semua maklumat itu mesti diubah status kerahsiaannya kerana ia membabitkan kepentingan keselamatan negara.

“Buatlah siasatan (mengenai Ops Yaman 2 tidak dibawa ke Kabinet), ambil tindakan daripada membuat dakwaan, saya tidak takut apa-apa, tetapi siasat dengan pihak yang terbabit,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat pembabitan ATM dalam Ops Yaman 2 pada 2015 yang dilaksanakan ketika Hishammuddin menerajui Kementerian Pertahanan, tidak mendapat kelulusan Kabinet.

Susulan pendedahan itu, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata tangan Malaysia turut ‘dibasahi darah rakyat Yaman’ yang terkorban kerana peluru dan letupan dibawa ATM.

Bagaimanapun, Hishammuddin tidak menjawab secara langsung sama ada pembabitan ATM bersama Arab Saudi dalam pergolakan di Yaman, perlu mendapat kelulusan Kabinet atau sebaliknya.

Chin Tong dilaporkan berkata, penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Hishammuddin berkata, tentera Malaysia tidak terbabit dalam aktiviti ketenteraan, sebaliknya ATM berada di Arab Saudi untuk operasi menyelamatkan pelajar Malaysia di Yaman.

Katanya, pasukan tentera yang dihantar tidak dilatih untuk bertempur dan mereka berada di sana bukan bagi tugasan aktif.

“Tentera kita tidak ada pun di Yaman. Bila ada yang kata darah terpalit pada tangan saya, dia tidak cerita pula ‘darah’ 763 pelajar yang kita selamatkan di Yaman apabila dibawa mereka keluar ketika pertempuran itu.

“Sekarang ini kerajaan sudah tarik balik anggota kita, kalau sesuatu berlaku di sana, suruhlah Chin Tong dengan Raja Kamarul Bahrin Shah ke Yaman selamatkan rakyat kita yang masih di sana,” katanya.

Berita Harian X