Rabu, 5 Disember 2018 | 4:46pm
RSN Rayer

Cadang gubal undang-undang kawal jenayah siber

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia dicadang menggubal undang-undang baharu yang berperanan mengawal perlakuan jenayah siber yang didakwa semakin serius.

RSN Rayer (PH DAP-Jelutong) berkata, kementerian perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau individu yang menyebarkan berita palsu, terutama hingga menyebabkan berlaku insiden menggugat keamanan negara.

“Saya cadangkan kementerian menggubal undang-undang baharu yang dapat mengawal perlakuan jenayah menggunakan laman web sosial.

“Kita mohon kementerian mewujudkan jawatan, pejabat atau cawangan tertentu dengan kakitangan yang ada kemahiran untuk mengesan semua perlakuan jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer turut memberi contoh masih kurang tindakan diambil bagi seseorang dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan penyebaran berita palsu.

Katanya, kerajaan perlu agresif mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebar maklumat palsu melalui media sosial seperti Facebook (FB) dan aplikasi seperti WhatsApp.

“Ada pihak tertentu seperti (blogger) Papagomo dan lain-lain secara jelas melontar cabaran kepada pihak tertentu meminta supaya bergaduh dan sebagainya.

“Perkara ini serius dan saya nak lihat Papagomo dihadapkan dengan pertuduhan. Kita lihat beliau sudah ditahan dan saya difahamkan sudah dibebaskan.

“Papagomo adalah seorang yang tidak serik dan menjadi ancaman serta menggugat ketenteraman masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

270 dibaca
Berita Harian X