Khamis, 6 Disember 2018 | 4:34pm
MOHAMAD Arshad Raji

Kenyataan Hishammuddin mengenai Ops Yaman 2 mengelirukan - PATRIOT

KUALA LUMPUR: Tindakan Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops Yaman 2 di Arab Saudi diketuai dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) didakwa menimbulkan pelbagai persoalan.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Datuk Mohamad Arshad Raji, berkata pihaknya juga keliru dengan kenyataan Hishammuddin yang antara lain mengesahkan operasi itu tidak mendapat kelulusan Kabinet pentadbiran terdahulu dan dirahsiakan demi keselamatan negara.

“PATRIOT berpendapat kenyataan Hishamuddin menyebabkan lebih kekeliruan, adakah beliau ingin mengatakan Kabinet dan Parlimen tiada kuasa dalam mengerahkan pasukan tentera ke luar negara.

“Adakah beliau mengatakan sebarang keputusan untuk menghantar ATM ke luar negara tidak perlu dirujuk oleh ketua jawatankuasanya?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Hishammuddin berkata pihak yang membuat pendedahan mengenai Ops Yaman 2 perlu memahami fungsi MKN untuk mengetahui pembabitan sebenar ATM di Arab Saudi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika membuat pendedahan terbabit.

“Dia lupa apa itu MKN. Dia kata (Ops Yaman 2) tidak dibawa ke Kabinet, dia sepatutnya tanya kepada perisik luar kita, tanya kepada MKN, tanya mereka apa sebenarnya yang kita lakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Arshad meminta Hishammuddin menjelaskan jika Akta MKN ada menetapkan majlis keselamatan itu mempunyai bidang kuasa untuk mengerahkan pasukan ATM ke luar negara untuk terbabit dalam misi peperangan.

“Kita percaya Hishamuddin juga keliru dengan kenyataannya yang tidak menyebut mengenai peranan jawatankuasa tentera untuk menasihatkan kerajaan berhubung misi peperangan membabitkan ATM.

“PATRIOT juga mahu beliau jelaskan apa maksudnya apabila beliau mendakwa maklumat berkaitan isu berbangkit perlu dirahsiakan.

“Adakah wujud sebarang persetujuan antara Malaysia dan Arab Saudi di mana Malaysia diminta untuk membantu negara itu berperang dengan Yaman.

“PATRIOT pernah diberitahu oleh tentera di Arab Saudi berhubung keputusannya membenarkan rakyat Malaysia di Yaman pulang ke negara ini, jika benar kenapa pasukan ATM berada di Yaman lebih tiga tahun? Misi seperti itu sepatutnya tamat kurang daripada sebulan,” katanya.

Beliau berkata PATRIOT berpendirian sama seperti sebelum ini dengan menegaskan pasukan ATM itu dikerahkan ke negara luar secara haram berikutan tiada lampu hijau daripada Kabinet dan Parlimen.

Berita Harian X