Ahad, 9 Disember 2018 | 3:02pm
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (empat dari kiri) bersama Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail (tiga dari kanan) merasmikan sambutan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 anjuran SUHAKAM di Padang Timur. - Foto Syarafiq Abd Samad

SUHAKAM akan terus nasihat kerajaan ratifikasi ICERD

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menegaskan akan terus menasihat kerajaan untuk meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa yang belum ditandatangani Malaysia.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail, berkata ia termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Ya, sudah tentu. Walaupun kami kecewa (kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD), namun kami belum menyerah kalah.

“Ada ramai individu dalam kerajaan yang mahu kami terus bekerja keras dalam isu ini, jadi kami akan terus menasihati kerajaan (meratifikasi ICERD dan baki instrumen hak asasi manusia lain),” katanya pada sidang media sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kimitmen SUHAKAM untuk terus bekerjasama dan menasihat kerajaan, turut membabitkan ratifikasi ICERD.

Setakat ini, Malaysia hanya meratifikasi tiga daripada sembilan konvensyen antarabangsa berhubung hak asasi manusia iaitu Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, menegaskan kerajaan baharu Malaysia berikrar untuk meratifikasi baki instrumen asas PBB yang berkait dengan melindungi hak asasi manusia.

Bagaimanapun, kerajaan pada 23 November lalu, menyatakan pendirian untuk tidak meratifikasi ICERD, sebaliknya memberi jaminan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Jumaat lalu, Razali mengumumkan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 yang dijadualkan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya, semalam ditunda ke hari ini atas faktor risiko keselamatan.

Ia berikutan himpunan kesyukuran meraikan keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD yang diadakan di Dataran Merdeka, semalam.

Sementara itu, dalam ucapannya, Razali berkata, SUHAKAM komited memastikan hak asasi manusia di Malaysia dipraktikkan dan dijamin dengan sistematik dalam semua aspek berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun ada puak nak mengaitkan SUHAKAM dan hak asasi manusia sebagai satu konsep barat yang melanggar agama, ini adalah pandangan yg cetek atau ada motif lain di sebalik hujahnya.

“Kita hendak mempertahankan konsep maruah diri yang diajar Islam dan agama lain, kita juga mesti belajar apa berlaku di luar negara,” katanya.

7981 dibaca
Berita Harian X