Ahad, 9 Disember 2018 | 3:43pm
Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail berucap pada sambutan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 anjuran SUHAKAM di Padang Timur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Satu kelebihan bila Dr Mahathir tidak hadir - Razali

PETALING JAYA: Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk tidak menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 hari ini, memberi kelebihan pada program anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) itu.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail, berkata keputusan Perdana Menteri itu menyebabkan semakin ramai orang tertanya-tanya dan mahu hadir ke program yang berlangsung di Padang Timur, di sini.

“Perdana Menteri membantu kita apabila beliau tidak hadir. Bila beliau tidak datang, orang semakin tertarik untuk hadir.

“Ramai orang datang bertanyakan pelbagai soalan dan menunjukkan minat dalam pelbagai isu membabitkan hak asasi manusia dan dewan juga penuh (ketika majlis perasmian),” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 di sini, hari ini.

Sambutan Hak Asasi Manusia 2018 yang dijadualkan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya, semalam ditunda ke hari ini atas faktor risiko keselamatan.

Ia berikutan himpunan kesyukuran meraikan keputusan kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan di Dataran Merdeka, semalam.

Susulan itu, Dr Mahathir yang asalnya dijadualkan hadir serta merasmikan sambutan Hari Hak Asasi Manusia, menegaskan tidak akan hadir ke program SUHAKAM itu kerana berbeza pendirian dengan badan terbabit mengenai ratifikasi ICERD.

Sementara itu, ditanya sama ada SUHAKAM ada berdepan kekangan ketika ketika pentadbiran kerajaan lalu, Razali mengaku berdepan pelbagai cabaran dan kerenah birokrasi dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia

“Sepanjang saya menjadi Pengerusi SUHAKAM selama tiga tahun, sekali pun saya tidak dapat berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri.

“Terlalu banyak protokol sebelum ini. Nak jumpa mereka macam nak jumpa tuhan,” katanya.

6658 dibaca
Berita Harian X