Isnin, 10 Disember 2018 | 7:44am

EKSKLUSIF: Laporan kewangan dedah TH rugi

KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Haji (TH) akan membentangkan kepada Dewan Rakyat perincian Laporan Kewangan 2017 TH untuk semakan dan penelitian semua Ahli Parlimen, pagi ini.

Sumber agensi berkenaan menjelaskan, laporan itu yang tidak akan dibahaskan, akan mendedahkan mengenai status kewangan TH yang ketika ini berada di kedudukan amat menyedihkan atau di tahap defisit.

Beliau berkata, laporan itu turut menunjukkan perincian segala bentuk perbelanjaan dibuat TH sebelum ini terutama berkaitan keputusan pelaburan, pembayaran hibah serta subsidi, sehingga menyebabkan agensi itu mula mengalami penyusutan tunai atau mengalami kerugian.

"Ini semua akan diperincikan dalam laporan itu," katanya sambil menjelaskan laporan itu turut ada kaitannya dengan keputusan TH membuat dua laporan polis sebelum ini.

Beliau berkata, satu sidang media khas akan diadakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Dewan Rakyat jam 10 pagi ini, bagi mengulas laporan dibentangkan itu.

Katanya, antara mesej akan disampaikan Mujahid berkemungkinan berkaitan jaminan kerajaan untuk memastikan wang pendeposit TH tidak terjejas dengan pendedahan laporan terbabit.

"Pendedahan laporan kewangan terbaharu TH ini sudah pasti akan meresahkan ramai pendeposit TH. Jadi, untuk mendepani situasi ini, memerlukan penjelasan lanjut dan jaminan (oleh kerajaan)," katanya.

Sumber itu juga menjelaskan, pengurusan kanan TH dijangka mengadakan sidang media khas esok, bagi menjelaskan mengenai rancangan pelan pemulihan yang akan diambil agensi itu selepas ini.

Ia katanya, menyentuh keputusan penstrukturan semula pengurusan dan kewangan TH, di samping penjelasan teknikal berkenaan punca utama yang menyebabkan agensi itu dibelenggu masalah kewangan.

Sebelum ini, dua laporan polis dibuat TH ke atas bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah, serta kakitangan pengurusan kanan.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ini bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan polis kedua pula dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 bilion) pada 2012.

5892 dibaca
Berita Harian X