Isnin, 10 Disember 2018 | 11:24am

Hibah TH sejak 2014 langgar Akta Lembaga Tabung Haji - Mujahid

KUALA LUMPUR: Pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, berkata pendedahan itu diperoleh hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Katanya, pemberian hibah perlu memenuhi dua syarat utama iaitu aset TH perlu melebihi liabiliti manakala agensi perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.

"PwC mendapati akaun TH diaudit berakhir 31 Disember 2017 merekodkan aset keseluruhan RM70.3 bilion, sedangkan liabiliti ialah RM74.4 bilion, menunjukkan defisiti sebanyak RM4.1 bilion.

"Pemberian hibah atau dividen oleh pengurusan TH sejak 2014 juga bertentangan dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 kerana hibah hanya boleh diberi jika TH mencatatkan keuntungan, yang mana itu tidak berlaku," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mujahid berkata, penemuan PwC itu mendapati pengurusan lama tetap memberi hibah atau dividen kepada pendeposit walaupun melanggar Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Justeru, beliau berkata, Kabinet bersetuju pengurusan baharu TH mewujudkan Special Purpose Vehicle (SPV) untuk memulihkan kedudukan kewangan agensi terbabit.

"SPV yang diwujudkan pengurusan baharu Lembaga Tabung Haji (TH) akan memaksimumkan semua aset TH yang prestasinya tidak memuaskan, termasuk kemungkinan menjual aset berkaitan.

"Saya yakin dengan tindakan pemulihan yang sudah bermula sejak Julai lalu, hibah atau dividen bagi tahun 2018 akan dapat diberikan kepada pendeposit, namun kadarnya bergantung pada keuntungan.

"Dengan pelan pemulihan yang sedang dilakukan, kos menunaikan haji bagi pendeposit TH juga kekal pada kadar RM9,980," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mujahid berkata, kerajaan belum memutuskan tindakan terhadap pengurusan lama TH yang menyalahi Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga mengakibatkan agensi itu mengalami defisit kewangan.

"TH akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus agensi itu.

"Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH.

"Kabinet sudah berbincang mengenai pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaannya," katanya.

6817 dibaca
Berita Harian X