Sabtu, 15 Disember 2018 | 7:07pm
Layari portal rasmi LHDN di pautan www.hasil.gov.my

Pembayar cukai bermasalah perlu rebut tawaran PKPS - LHDN

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meminta pembayar cukai mempunyai masalah percukaian untuk tampil ke hadapan dan merebut tawaran Program Khas Pematuhan Sukarela (PKPS) yang kini dalam fasa pelaksanaan dan promosi.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pengakuan sukarela itu boleh dibuat di mana-mana pejabat LHDN di seluruh negara bermula 3 November hingga 30 Jun tahun depan.

“Melalui tawaran ini, pembayar cukai akan dikenakan penalti lebih rendah antara 10 dan 15 peratus daripada amaun cukai perlu dibayar berbanding kadar penalti lebih tinggi (80 hingga 300 peratus) selepas pengakuan sukarela tamat, ” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyebut program berkenaan merupakan peluang kepada pembayar cukai menyelesaikan isu ketidakpatuhan cukai pelaporan cukai pendapatan.

LHDN juga akan menerima segala pengakuan sukarela daripada pembayar cukai dengan suci hati dan tidak akan membuat semakan lanjut terhadap pengakuan yang dikemukakan, kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut, pembayar cukai boleh melayari portal rasmi LHDN di pautan www.hasil.gov.my atau boleh diajukan kepada Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel di [email protected]

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPS melalui Belanjawan 2019 bermatlamat meningkatkan kutipan hasil kerajaan untuk pembangunan negara dan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai mengisytiharkan pendapatan masing-masing secara sukarela.


Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah (tengah) bergambar bersama wakil media yang menyertai program boling di Wangsa Bowl, IOI City Mall, hari ini. - Foto ihsan LHDN

Sementara itu, LHDN hari ini menganjurkan Program Boling Tenpin LHDN bersama media yang disertai 114 pemain daripada pelbagai agensi media di Malaysia.

Program bertujuan menyahut semangat kesukanan antara LHDN dan media itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab. – BERNAMA

Berita Harian X