Selasa, 18 Disember 2018 | 9:25am
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Saddam Yusoff
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

Kematian Adib: Wanita UMNO tuntut tindakan tegas terhadap pelaku

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menggesa polis dan Jabatan Peguam Negara menyempurnakan siasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata tindakan undang-undang yang keras perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Rakyat difahamkan Allahyarham Muhammad Adib diklasifikasikan oleh polis sebagai kes bunuh dan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

“Jadi, sekiranya terbukti wujud elemen jenayah, undang-undang perlu ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib mesti dibawa ke muka pengadilan serta dihukum sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Takziah juga kepada tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan Muhammad Adib pada Sabtu ini.

“Segala yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Semoga Nurul Najihah tabah menghadapi dugaan ini. Reda atas pemergiannya dan lepaskanlah dia menemui pencipta-Nya,” katanya.

Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Sebelum itu, pihak IJN memaklumkan tahap kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Pihak IJN mengambil keputusan memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam kelmarin untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mengesahkan Muhammad Adib meninggal dunia dalam satu sidang media di IJN, malam tadi.

Berita Harian X