Khamis, 20 Disember 2018 | 6:17pm
KHAIRY Jamaluddin

Harap PM jangan pecat Waytha Moorthy, Maszlee - KJ

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dilihat semakin kerap memberi kenyataan sarkastik terhadap kerajaan, hari ini meminta Perdana Menteri tidak memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Melalui akaun Twitternya, bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyifatkan Waytha Moorthy sebagai aset kepada pembangkang selain Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Harap @chedetofficial tidak memecat Waythamoorthy dan @maszlee. Mereka ini aset bagi pembangkang,” tulisnya hari ini yang dipercayai menyindir kerajaan.

Terdahulu dalam postingnya tiga jam sebelum itu, beliau memuat naik status sinis mengenai Waytha Moorthy yang disifatkan gagal menjaga porfolio perpaduan sebaliknya hanya mencetuskan kemarahan rakyat.

“Waythamoorthy menjaga portfolio perpaduan. Jelas beliau mencetus kemarahan orang ramai. Bagaimana beliau mampu memupuk perpaduan? Apa yang dia boleh buat untuk menyatukan rakyat? Oh, rakyat sudah bersatu dalam menolak beliau,” tulisnya.

Maszlee dan Waytha Moorthy adalah dua pemimpin kerajaan yang sering mendapat perhatian pembangkang sejak dilantik menyertai Kabinet.

Kenyataan kedua-dua mereka sering mencetuskan kontroversi dan terpalit dengan pelbagai kecaman dalam kalangan masyarakat, menjadikan mereka sasaran mudah pembangkang membawa pelbagai isu mengkritik kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini secara konsisten terus mempertahankan kedua-dua menteri itu, malah berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan setakat ini.

Berita Harian X