Isnin, 31 Disember 2018 | 2:38pm
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

Masyarakat perlu jadi jambatan, bukannya hero etnik masing-masing

KUALA LUMPUR: Masyarakat pelbagai etnik perlu mempunyai sikap prihatin terhadap masa depan negara dan bersedia menjadi jambatan etnik, bukannya hero kumpulan etnik masing-masing.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Rukun Negara dan sejarah negara perlu didedahkan kepada setiap kaum supaya mereka memahami serta menghormati hak, kepercayaan, amalan dari pelbagai latar belakang yang berbeza.

Katanya, kesedaran dan pemahaman itu harus bermula di sekolah memandangkan pelajar lebih memahami serta menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik yang boleh hidup bersama selain menghormati antara satu sama lain.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menyemai dan mempromosikan lima prinsip Rukun Negara dan nilai-nilai positif dalam kalangan kanak-kanak sehingga mereka menjadi sinonim dengan masyarakat majmuk Malaysia.

“Kita perlu ingat bahawa toleransi dan sikap saling hormat-menghormati antara kumpulan etnik seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah kunci kepada keamanan dan keharmonian berbilang kaum serta agama.

“Pada masa akan datang, penting bagi semua rakyat Malaysia untuk belajar mengenai kepentingan memelihara perpaduan kerana negara kita boleh musnah jika tidak mengekalkan keharmonian antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Sebelum ini, beberapa insiden yang berlaku menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian antara kaum di mana perkara kecil boleh berubah hingga menimbulkan ketegangan kaum.

Lam Thye berkata, sebagai masyarakat bertanggungjawab dan patriotik, mereka perlu berusaha untuk menjaga keamanan, keharmonian dan perpaduan serta menahan diri daripada provokasi serta keganasan yang boleh menimbulkan konflik.

“Pelbagai isu perkauman dan keagamaan dieksploitasi oleh pihak tertentu demi kepentingan masing-masing. Jadi, saya berharap masyarakat tidak akan membenarkan keharmonian diancam oleh polarisasi kaum ini.

“Pada tahun 2019 ini, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan demi memupuk persefahaman lebih baik dan elakkan konflik disebabkan oleh kebencian kaum atau agama,” katanya.

Berita Harian X