Sabtu, 5 Januari 2019 | 2:54pm

Pasukan petugas khas tangani isu Cameron Highlands, Lojing

CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Air, Tenaga dan Sumber Asli mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu pencerobohan tanah, cerun bahaya serta penguatkuasaan berkaitan tanah di tanah tinggi Cameron Highlands dan Lojing.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, berkata skop tugasan pasukan petugas khas itu ketika ini sedang dirangka sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kanun Tanah Negara pada April ini.

“Keanggotaan pasukan petugas khas ini akan membabitkan Kementerian Air, Tenaga dan Sumber Asli; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta kerajaan negeri Pahang dan Kelantan.

“Kita mahu melihat isu ini secara holistik dan melihat aspek kefahaman bagaimana program ini (pertanian tanah tinggi) ada kelulusan dan memastikan mereka (petani) bertanggungjawab,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembah Bertam dan Sungai Ringlet di Ringlet, di sini hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (tiga kiri) melihat saliran air ketika mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Lembah Bertam, Cameron Highlands. - Foto Muhaizan Yahya

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Dr Md Nasir Md Noh.

Dr Xavier berkata, pasukan berkenaan antara lain untuk memastikan kawasan cerun berbahaya tidak akan diteroka sama sekali, penguatkuasaan lebih ketat oleh negeri, memastikan hanya tanah mendapat permit pendudukan sementara (TOL) dibenarkan untuk pertanian serta rancangan pembangunan pada masa akan datang.

Katanya, ia termasuk memastikan pesalah yang melakukan pencerobohan tanah menerima hukuman berat.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kekangan dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah di kawasan tanah tinggi itu ditangani secara tuntas berikutan kuasa hal ehwal tanah di bawah bidang kerajaan negeri.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan tidak lagi sekadar memberi nasihat tetapi kita meminta kerjasama kerajaan negeri supaya perkara ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Pusat sedia berbelanja besar untuk program kelestarian di kawasan tumpuan pelancong itu tetapi memerlukan kerjasama lebih erat dengan kerajaan negeri.

Dr Xavier kemudian turut meninjau pelan kajian tanah dan kerja-kerja pembaikan cerun serta perparitan diKampung Orang Asli Sungai Tiang, Lembah Bertam.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (dua kanan) melihat pelan kajian tanah dan kerja-kerja pembaikan cerun dan sistem perparitan untuk cerun kritikal di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Lembah Bertam, Cameron Highlands. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X